KOTA BHARU: Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Keadilan Kelantan Datuk Seri Mohamad Suparadi Md. Noor meraih kemenangan bergaya sekali gus mempertahankan jawatan sebagai Ketua Cabang Tanah Merah bagi penggal 2025-2028 pada Pemilihan Parti Keadilan Rakyat (PKR) 2025 hari ini.
Pada pemilihan itu Mohamad Suparadi menang dengan majoriti 757 selepas memperoleh undian sebanyak 1,108 undi sementara pencabarnya Mohd. Hanuzi Zaharim meraih 351.
Kemenangan ini menyasikan bekas calon Pakatan Harapan (PH) Tanah Merah pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) dijangka akan mengekalkan jawatannya sebagai Pengerusi MPN Keadilan Kelantan.
Ini merupakan penggal ketiga Mohamad Suparadi mengemudi Cabang Tanah Merah sejak 2019.
Sementara itu, Timbalan Pengerusi MPN Dr. Shamsudin Ghani tewas pada pemilihan Ketua Cabang Pasir Puteh.
Samsudin sekadar 587 undi manakala Kamaruddin Mat Zain menang untuk jawatan itu setelah memperoleh 1,042 undi sementara seorang lagi pencabar Othaman Mohamad sekadar 284 undi.
Muka lama yang berjaya mengekalkan jawatan sebagai Ketua Cabang ialah Mohamad Zamakhsari Ibrahim (Tumpat) dan Asrun Uji (Gua Musang).-UTUSAN