SHAH ALAM: Suspek lelaki yang didakwa membunuh seorang pengemis di hadapan sebuah bank di Seksyen 18 di sini, semalam direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan kes.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd. Iqbal Ibrahim berkata, polis mendapat kebenaran reman daripada Majistret Nur Azureen Zainalkefli bermula hari ini sehingga 1 Mei di Hospital Shah Alam, petang tadi.
“Permohonan reman telah dijalankan di wad pemerhatian Hospital Shah Alam pada pukul 3.15 petang. Suspek telah dimasukkan ke wad pemerhatian kerana mengalami sawan. Suspek ada mempunyai kad OKU (Orang Kurang Upaya) kerana lembab,” katanya pada hari ini.
Sementara itu menurut Mohd. Iqbal, bedah siasat telah dijalankan ke atas mangsa di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang tengah hari tadi dan mendapati punca kematian mangsa adalah disebabkan luka tikaman di dada.
Semalam, Utusan Malaysia melaporkan seorang peminta sedekah maut ditikam oleh seorang peminta sedekah lain.
Punca kejadian dipercayai berlaku untuk merebut kawasan meminta sedekah yang mana suspek dan mangsa telah bertikam lidah terlebih sebelum suspek bertindak mengeluarkan sebilah pisau lalu menikam di bahagian dada mangsa beberapa kali di tempat kejadian.
Suspek telah ditahan di tempat kejadian oleh polis dan kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan. – UTUSAN