Penganggur, remaja mengaku tak bersalah perdagang dua lelaki

Penganggur, remaja mengaku tak bersalah perdagang dua lelaki

JASPER Yap En Wai (kiri) dan Desmond Ang Whei Cheng mengaku tidak bersalah atas tuduhan memperdagangkan dua bagi tujuan eksploitasi kerja di negeri ini dan Myanmar di Mahkamah Sesyen, Johor Bahru.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Seorang penganggur dan seorang remaja mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen, di sini hari ini atas dakwaan terlibat memperdagangkan dua lelaki bagi tujuan eksploitasi kerja di negeri ini dan Myanmar.

Tertuduh, Jasper Yap En Wai, 20, dan Desmond Ang Whei Cheng, 18, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan dalam bahasa Mandarin di hadapan Hakim, Siti Noraida Sulaiman.

Berdasarkan pertuduhan pertama dan kedua, mereka didakwa secara bersama memperdagangkan dua lelaki berusia 19 dan 20 tahun bagi maksud eksploitasi kerja dengan cara memperdayakan mereka di sebuah restoran di Taman Maju Jaya di sini pada pukul 11 malam antara Disember lalu hingga 14 Februari lepas.

Jasper turut berdepan satu lagi pertuduhan memperdagangkan seorang mangsa berusia 21 tahun bagi tujuan eksploitasi kerja dengan cara memperdayakannya di Shwekkoko, Myanmar antara 7 hingga 14 Februari lalu.

Kedua-dua tertuduh didakwa di bawah Seksyen 12 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya, R. Kodesviary meminta mahkamah tidak memberikan jaminan kepada kedua-dua tertuduh kerana kesalahan itu memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun.

Namun, kedua-dua tertuduh meminta mahkamah memberikan jaminan rendah kerana masing-masing tidak mempunyai pendapatan tetap dan mempunyai tanggungan keluarga.

Mahkamah menetapkan jaminan RM15,000 kepada Desmond yang diwakili peguam bela, Mohammad Muzammil Mohammad Hairiri bagi setiap pertuduhan, manakala Jasper yang tidak diwakili peguam bela diberi jaminan RM24,000 bagi setiap pertuduhan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN