Lima tahun tiada tindakan berkesan

Pencemaran Sungai Juru: Lima tahun tiada tindakan berkesan

SEBAHAGIAN daripada sisa buangan plastik yang mencemari Sungai Juru di Pulau Pinang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN: Pencemaran Sungai Juru yang dikatakan berpunca daripada sampah sarap, sisa buangan plastik dan mendapan rumpai dari Sungai Rambai di sini semakin membimbangkan.

Sisa tersebut akan masuk ke Sungai Juru sebelum dihanyutkan ke laut berhampiran, sekali gus menjejaskan kegiatan nelayan dan penternak kerang di Kampung Kuala Juru.

Apa yang mengecewakan penduduk ialah sudah lebih lima tahun masalah itu berlaku dan aduan dibuat, namun belum ada tindakan berkesan diambil untuk mengatasinya.

Ketua Nelayan Kampung Kuala Juru, Wahid Othman, 57, berkata, masalah tersebut sudah berlarutan sejak lima tahun lalu dan aduan telah dibuat kepada pihak berkuasa, namun, tiada tindakan berkesan diambil setakat ini.

“Rumpai hanyut dan sampah sarap yang melanda kawasan tangkapan ikan bukan sahaja menyukarkan kerja harian nelayan, malah, menjejaskan kualiti hasil laut yang ditangkap,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Seorang penternak kerang, Helmi Ibrahim, 45, pula bimbang sekiranya masalah itu berterusan, ternakan kerangnya beri­siko mati kerana sisa plastik dan rumpai mendap di kawasan ternakan.

“Kalau tiada tindakan segera, kami bukan sahaja rugi besar, tetapi, mungkin perlu hentikan terus operasi kerana kerang tidak membesar seperti biasa,” katanya.

Sementara itu, Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP), Mohideen Abdul Kader menggesa kerajaan negeri mengambil tindakan segera mengatasi masalah pencemaran Sungai Juru kerana ia boleh menjejaskan mata pencarian penduduk setempat.

“Hasil tinjauan CAP mendapati, penduduk yang bergantung kepada sumber sungai dan laut terjejas teruk apabila peralatan menangkap ikan seperti pukat rosak dan hasil ternakan kerang terbantut akibat pencemaran itu.

“Justeru, siasatan segera perlu dijalankan oleh Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) untuk mengenal pasti punca pencemaran,” katanya.

Mohideen berkata, CAP kesal terhadap kelewatan pihak berkuasa bertindak walaupun masalah ini telah diketahui sejak sekian lama.

“Semua agensi terlibat perlu turun padang meninjau situasi sebenar di lapangan dan mengenal pasti pihak yang menjadi punca pencemaran. Tindakan tegas termasuk pendakwaan perlu dikenakan terhadap pihak terbabit agar kejadian seperti ini tidak berulang pada masa depan,” katanya.

CAP juga menggesa kerajaan negeri untuk menyalurkan bantuan atau pampasan kepada nelayan dan penternak yang meng­alami kemerosotan pendapatan akibat pencemaran tersebut.

“Pihak JAS dan MBSP juga diminta menjalankan pemantauan secara berkala bagi memastikan sungai-sungai di negeri ini tidak terus menjadi mangsa pencemaran berulang,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN