BALING: Seorang ahli perniagaan warga emas didenda RM8,500 oleh Mahkamah Majistret di sini semalam selepas mengaku bersalah atas lima pertuduhan cuai kerana membiarkan anjing peliharaannya menyerang lima individu hingga cedera dalam kejadian 1 April lalu.
Tertuduh, Chong Shen Chong, 69, membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Najwa Che Mat, yang kemudian menjatuhkan hukuman denda RM1,700 bagi setiap pertuduhan atau dua bulan penjara jika gagal membayar. Tertuduh membayar keseluruhan denda tersebut.
Shen Chong didapati cuai membiarkan dua ekor anjing jenis Rottweiler menyerang lima mangsa termasuk seorang warga Mesir di sekitar kawasan perumahan Taman Desa Bidara, Kuala Ketil antara pukul 4.45 pagi hingga 7 pagi.
Mangsa ialah Khadijah Abdullah, 66; Ahmed Abdeltawwad Moustafa, 28; Asyida Nizam Ahmad, 50; Shaik Peer Mohamed Mohamed Mydin, 51; dan Goh Bing Hak, 74.
Kes didakwa mengikut Seksyen 289 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara hingga enam bulan atau denda RM2,000 bagi setiap pertuduhan.