KANGAR: Pemerintahan Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail selama 25 tahun menyaksikan pelbagai perubahan membanggakan dalam pelbagai bidang seperti sosial, pendidikan, ekonomi dan infrastruktur.
Malah dalam tempoh itu, baginda juga tidak pernah kekok mendampingi rakyat dalam memastikan kebajikan seluruh masyarakat sentiasa terjaga dan terpelihara.
Kenalan rapat baginda yang juga bekas Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis, Datuk Hamdan Bahari berkata, sepanjang pemerintahan baginda, setiap pelaksanaan atau pembangunan di negeri ini mengambil kira kepentingan rakyat secara keseluruhan.
Katanya, selain mengutamakan rakyat, baginda juga seboleh-bolehnya akan mengurangkan protokol untuk bersalaman dengan mereka dalam setiap program atau acara dihadiri.
“Malah, baginda juga amat menjaga silaturahim dengan semua pihak tanpa mengira kaum atau bangsa,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Hamdan berkata, rakyat Perlis amat menyayangi Tuanku Syed Sirajuddin yang merupakan seorang pemerintah berjiwa rakyat dan amat prihatin dalam segala aspek.
Katanya, pembangunan yang dilihat ikonik di negeri ini semasa pemerintahan baginda adalah seperti pelaksanaan Projek Perindustrian Lembah Chuping, Padang Besar yang menawarkan banyak peluang pekerjaan buat anak tempatan, di samping turut menarik pelabur luar ke Perlis.
“Baginda juga akan memantau setiap pembangunan yang dijalankan di negeri ini bagi memastikan pelaksanaannya mencapai objektif dikehendaki,” katanya.
Sementara itu, bekas Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Md. Isa Sabu berkata, Tuanku Syed Sirajuddin merupakan seorang pemerintah yang berfikiran strategik dan pernah dididik dengan asuhan disiplin ketenteraan di Royal Military Academy Sandhurst, United Kingdom (UK).
Katanya, baginda juga akan memberi teguran dalam sesuatu perkara bagi membolehkan penambahbaikan dilaksanakan demi kebaikan semua pihak.
“Pengalaman semasa di bawah pemerintahan baginda, Tuanku Syed Sirajuddin akan mendapatkan pandangan tentang kesan impak pelaksanaan bagi sesuatu program atau projek terhadap rakyat dan alam sekitar.
“Ini menunjukkan baginda amat mengutamakan rakyatnya dalam segala hal sepanjang 25 tahun pemerintahan,” katanya. – UTUSAN