SUBANG JAYA: Pembersihan secara besar-besaran akan dijalankan selama dua hari bermula esok di dua kawasan terjejas insiden kebakaran saluran paip gas di Putra Heights di sini.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amiruddin Shaari berkata, kerja pembersihan diketuai pihak Majlis Bandaraya Subang Jaya itu.akan mengambil masa dua hingga tiga jam setiap hari dengan penglibatan seramai 1,402 petugas daripada pelbagai agensi.
Jelasnya, kerja pembersihan itu juga akan melibatkan kawasan perumahan Taman Putra Heights dan Kampung Kuala Sungai Baru.
“Kami akan cuba membersihkan semua sisa-sisa sampah di jalanan, orang-orang yang buang sampah di luar pagar rumah, termasuk di kampung-kampung. Sebelum ini sebenarnya banyak tumpuan kerja pembersihan dilaksanakan di Taman Putra Harmoni dan Putra Heights kerana kebenaran telah diberikan oleh pihak berkuasa.
“Dan baru beberapa hari lepas pihak berkuasa membenarkan untuk Kampung Kuala Sungai Baru (dibersihkan). Jadi, esok banyak penumpuan juga kita buat dengan jentera dan sukarelawan.
“Saya percaya dalam tempoh dua hari kita boleh selesaikan paling kurang 90 peratus isu-isu kebersihan di sana,” katanya pada sidang akhbar di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Masjid Putra Heights di sini hari ini.
Tambah Amiruddin, setakat semalam, lebih 100 tan sampah dan kotoran berjaya dikeluarkan oleh pihak KDEB Waste Management Sdn. Bhd.
“Kami juga telah meminta bantuan jentera daripada semua pihak berkuasa tempatan (PBT). Kita juga datangkan sokongan daripada pihak Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dan Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp).
“Kami yakin dapat melakukan pembersihan segera kerana (jika tidak) ini akan meneruskan trauma kepada penduduk-penduduk yang (sudah mula) tinggal (di sana),” katanya. – UTUSAN