PETALING JAYA: Skim Pelaburan Ponzi dinamakan Pelaburan MBI dikesan mewujudkan satu ekosistem baharu dengan menggunakan konsep melabur dan diberi mata ganjaran yang boleh digunakan bagi mendapatkan barangan.
Taktik digunakan sindiket pelaburan ini dipercayai bagi mengaburi mata pelabur supaya mereka dilihat menjalankan pelaburan yang sah namun sebaliknya melakukan aktivti penggubahan wang haram.
Malah seramai 11 juta mangsa dari negara jiran setakat ini tertipu dan melabur dengan sindiket terbabit selepas yakin dengan perniagaan dijalankan mereka.
Ketua Pasukan Siasatan Jenayah Pengubahan Wang Haram (AMLA) Bukit Aman, Datuk Muhammed Hasbullah Ali berkata, kegiatan itu berjaya dibongkar pihak polis dalam operasi Northern Star yang dijalankan dua siri sejak 21 Mac hingga 21 April lalu dengan penahanan 13 orang berusia 32 hingga 67 tahun termasuk ahli perniagaan bergelar Tan Sri dan Datuk Seri.
Katanya, hasil siasatan yang dijalankan sindiket ini cuba mewujudkan satu ekosistem baharu dalam kelompok mereka.
Jelasnya, siasatan mendapati mereka yang melabur itu akan diberi sejumlah mata ganjaran di mana ia boleh ditebus semula dengan barangan seperti peralatan elektrik, dan menukar tayar kereta.
“Pelabur akan mengumpul point (mata ganjaran) dan apabila cukup mereka boleh tebus sama ada untuk menukar tayar kereta atau juga boleh pergi ke kedai elektrik untuk membeli barangan elektrik tetapi kedai dan premis terbabit milik syarikat pelaburan itu.
“Taktik itu digunakan bagi menyakinkan pelabur dan ingin menampakkan pelaburan mereka relevan dan orang ramai akan terus melabur,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia semalam.
Menurutnya, dalang sindiket ini kini berada di China dan difahamkan sudah ditahan di negara itu.
“Siasatan masih berjalan dan akan ada siri serbuan lain selepas ini di mana setakat ini sebanyak RM3.5 bilion aset dibekukan dan disita,” katanya.
Media sebelum ini melaporkan tiga dusun durian, hotel, syarikat pemaju dan kilang pemprosesan kelapa sawit antara aset baru dibeku dan disita kerana disyaki terbabit jenayah pengubahan wang haram berkait Skim Pelaburan Ponzi di sebuah negara jiran dinamakan Pelaburan MBI.
Ia susulan Op Northern Star siri kedua yang dijalankan di sekitar Lembah Klang dan utara tanah air bermula 18 April hingga 21 April lalu dengan penahanan lima lelaki termasuk seorang bergelar Tan Sri dan seorang lagi Datuk Seri.
Muhammed Hasbullah dilaporkan berkata, menerusi operasi siri kedua itu, pihaknya menyita tiga dusun durian di Raub, Pahang; Jawi, Pulau Pinang; dan Tasek, Kedah dengan keseluruhan keluasan 363 hektar bernilai RM223.6 juta.
Menurutnya, sebanyak 299 akaun bank bernilai lebih RM12.6 juta bersama 12 kenderaan mewah turut disita dalam operasi kedua.
“Aset yang disita itu dipercayai hasil perolehan haram berkaitan penipuan pelaburan terbabit dengan jumlah keseluruhan pembekuan dan penyitaan dalam dua siri operasi itu sebanyak RM3.5 bilion.
“Pasukan Amla turut menyita tiga perniagaan iaitu kilang memproses kelapa sawit di Selama, Kedah; sebuah hotel dan syarikat pemaju di Pulau Pinang,” katanya.