KUALA LUMPUR: Tiga dusun durian seluas 897 ekar, hotel, kilang memproses kelapa sawit antara aset terbaharu disita Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang dianggarkan bernilai RM338 juta membabitkan pelaburan skim ponzi atau MBI.
Dalam operasi siri kedua yang dijalankan Pasukan Siasatan Jenayah Pengubahan Wang Haram (AMLA) Urus Setia KPN Bukit Aman bermula 18 April hingga 21 April lalu, seramai lima termasuk usahawan bergelar Tan Sri dan Datuk Seri ditahan dipercayai terlibat dalam pelaburan terbabit dan kini direman sehingga tujuh hari.
Ketua Pasukan AMLA, Urus Setia KPN Bukit Aman, Datuk Muhammed Hasbullah Ali berkata, siasatan mendapati kelima-lima yang ditahan di sekitar Lembah Klang dan utara tanah air berperanan sebagai proksi atau rakan kongsi.
Katanya, melalui tangkapan terbaharu ini, pihaknya berjaya mengesan pelbagai aset serta akaun bank dipercayai hasil perolehan haram daripada pelaburan terbabit.
“Antaranya, tiga dusun durian yang terletak di Raub, Pahang berkeluasan 850 ekar, Jawi, Pulau Pinang (13 ekar) dan Tasek, Kedah (34 ekar) dianggarkan bernilai RM223.6 juta.
“Siasatan mendapati ketiga-tiga dusun durian ini beroperasi secara sah namun dipercayai dibeli menggunakan wang haram,” katanya dalam sidang akhbar Op Northern Star di Menara KPJ di sini hari ini.
Menurutnya, sebanyak 299 akaun bank berjumlah RM123.6 juta, 12 kenderaan mewah, jam tangan mewah, wang tunai, lima telefon bimbit, komputer dan pelbagai dokumen penting turut disita dalam operasi terbabit.
Jelasnya, tiga buah perniagaan membabitkan kilang memproses sawit di Kedah dan sebuah syarikat pemaju serta hotel masing-masing di Pulau Pinang turut disita di bawah Seksyen 52 (Akta 613).
“Kita akan meneruskan siasatan dan tangkapan ke atas mana-mana individu dan entiti dipercayai melibatkan diri secara langsung atau tidak langsung yang memperolehi, menerima, memiliki dan memindahkan dari atau bawa masuk ke Malaysia hasil daripada kegiatan aktiviti penipuan pelaburan tersebut.
“Penipuan MBI ini dipercayai menggunakan kaedah ‘menebus’ barangan yang ditawarkan di bawah perniagaan mereka contohnya tukar tayar kenderaan serta barang elektrik bagi menampakkan perniagaan ini seolah relevan.
“Siasatan dan maklumat diperoleh daripada notis merah Polis Antarabangsa (Interpol) mendapati seramai 11 juta mangsa dari negara jiran terbabit dalam skim pelaburan ini sejak lapan tahun lalu manakala di negara ini hanya enam laporan polis sahaja diterima,” katanya.
Justeru, beliau menyeru orang ramai yang menjadi mangsa atau mempunyai maklumat berkaitan pelaburan ini tampil melaporkan kepada pihak polis.
11 April lalu, media melaporkan skim pelaburan MBI yang berpusat di negara jiran berjaya ditumpaskan dengan sitaan dan pembekuan aset bernilai RM3.17 bilion hasil penahanan lapan individu termasuk empat bergelar Datuk dalam operasi pada 20 Mac lalu menerusi Op Northern Star, hasil maklumat notis merah (red notice) daripada Polis Antarabangsa (Interpol).
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain dilaporkan berkata, lapan warga tempatan yang ditahan termasuk seorang wanita berusia antara 44 hingga 62 tahun termasuk dua usahawan dan dua peguam bergelar Datuk.
Beliau dilaporkan berkata, antara aset yang dirampas dan dibekukan ialah 638 akaun bank dan akaun saham berjumlah RM1.16 bilion serta 35 unit hartanah dianggarkan bernilai RM2 bilion,” katanya.- UTUSAN