Pekerja hanya saudara-mara, alasan majikan tidak carum Perkeso - Utusan Malaysia

Pekerja hanya saudara-mara, alasan majikan tidak carum Perkeso

SUHARA Mustaffa (berdiri) beramah mesra dengan pengamal media yang hadir di majlis hari raya Aidilfitri Perkeso Terengganu di Kuala Terengganu hari ini. - UTUSAN/KAMALIZA KAMARUDDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Sebanyak 10 peratus daripada 171 majikan yang terlibat dalam operasi pemutihan dijalankan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) Terengganu tidak berdaftar dengan pertubuhan itu.

Pengarah Perkeso Terengganu, Suhara Mustaffa berkata, antara alasan yang diberi ialah kakitangan diambil bekerja hanya terdiri daripada saudara-mara dan kebanyakannya bekerja sambilan untuk tempoh sementara.

“Alasan ini sering diberi oleh majikan yang terlibat dalam bidang perniagaan makanan dan minuman.

“Namun, tiada sebarang tindakan diambil terhadap majikan tersebut kerana operasi pemutihan yang dijalankan ini bertujuan meningkatkan kesedaran dan memberi peluang kepada mereka mendaftar secara sukarela terlebih dahulu,” katanya kepada pemberita di majlis sambutan Aidilfitri Perkeso Terengganu di sini, hari ini.

Katanya, sebanyak 30 pegawai dan kakitangan Perkeso Terengganu terlibat dalam operasi pemutihan yang dijalankan di seluruh Terengganu kali ini.

Bagaimanapun, beliau berkata, Perkeso Terengganu akan memulakan operasi penguatkuasaan (Op Kesan)  pada Mei depan, susulan daripada tempoh pemutihan yang diberikan.

“Fokus utama Op Kesan ini adalah untuk memastikan pematuhan terhadap kewajipan pendaftaran dan caruman seperti yang ditetapkan oleh undang-undang.

“Kita berharap tiada lagi alasan diberikan oleh majikan memandangkan tempoh yang lama diberi untuk mereka mendaftar dengan Perkeso melalui operasi pemutihan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya