PENDANG: Seorang pegawai bomba yang bertugas di Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pendang maut selepas terbabit kemalangan ketika pulang bekerja di Jalan Bukit Choras, di sini, petang semalam.
Mangsa, Pegawai Bomba Kanan (PBK) I Arizal Mahmud, 54, meninggal dunia selepas dipercayai mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan badan.
Ketua Polis Daerah Pendang, Superintenden Rodzi Abu Hassan berkata, kejadian pada 5.40 petang berlaku ketika mangsa yang menunggang motosikal Honda ADV160 baru keluar dari BBP Pendang untuk pulang ke rumahnya di Alor Setar.
Beliau berkata, mangsa dipercayai hilang kawalan lalu motosikalnya terbabas sebelum dia terseret di atas jalan.
“Akibat kemalangan itu, mangsa tidak sedarkan diri dan dibawa ke Hospital Pendang dengan menaiki Jentera Perkhidmatan Perubatan Kecemasan (EMRS) BBP Pendang untuk mendapatkan rawatan.
“Bagaimanapun, mangsa disahkan meninggal dunia pada pukul 8.35 malam ketika menerima rawatan di hospital berkenaan,” katanya di sini, hari ini.
Rodzi berkata, mayat mangsa dihantar ke Jabatan Forensik, Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) Alor Setar untuk bedah siasat bagi mengetahui punca kematian.
Sementara itu, Ketua BBP Pendang, Penolong Penguasa Bomba Ahmad Huzaini Halil mengesahkan pegawainya terlibat dalam kemalangan terbabit.
Katanya, kejadian berlaku ketika Allahyarham Arizal yang baru selesai tugas dalam perjalanan pulang ke rumahnya. -UTUSAN