KUANTAN: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) diminta bertindak tegas menyiasat Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Raub serta Jabatan Perhutanan berhubung isu pencerobohan tanah yang dijadikan kebun durian haram di Sungai Ruan dekat sini.
Presiden Pertubuhan Suara Anak Pahang (PSAP), Haslihelmy DM Zulhasli berkata, SPRM tidak boleh berkompromi dengan mana-mana pihak yang terlibat kegiatan rasuah atau salah guna kuasa dalam isu pencerobohan tanah kerajaan negeri.
“Dalam isu pencerobohan tanah di Sungai Ruan, SPRM perlu menyiasat pejabat tanah dan Jabatan Hutan.
“Isu pencerobohan tanah ini kita percaya bukan baru berlaku, ia sudah lama kerana pokok-pokok yang ditebang ada yang sudah pun mengeluarkan hasil,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Terdahulu, sekumpulan pekebun bertindak membawa kain rentang dan menghalang laluan jentera penguat kuasa sebagai tanda protes terhadap tindakan memusnahkan pokok durian yang sudah ditanam sejak puluhan tahun.
Namun begitu, keadaan berjaya dikawal tanpa sebarang insiden yang tidak diingini.
Kerajaan negeri sebelum ini menafikan dakwaan melanggar perintah mahkamah ketika menjalankan operasi menebang lebih 200 pokok durian Musang King pada 8 April lalu.
Baru-baru ini, Ahli Parlimen Raub, Chow Yu Hui dan Pengerusi Save Musang King Alliance (Samka), Wilson Chang ditahan polis bagi membantu siasatan berhubung kejadian menghalang penjawat awam menjalankan tugas semasa pelaksanaan ‘Op Sekat’ di Raub minggu lalu.
Haslihelmy mengucapkan terima kasih kepada kerajaan negeri dan Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail kerana bertindak tegas dalam isu pencerobohan di Sungai Ruan.
“Dengan penahanan Yu Hui, ia bukti kerajaan negeri tidak tunduk walaupun berada dalam satu kerajaan,” katanya. – UTUSAN