TAPAH: Seorang bapa sanggup memandu lebih 400 kilometer pergi dan balik dari Sungai Petani untuk membawa anaknya mengundi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning hari ini.
Mhd Roslan Ghazali, 52, berkata, walaupun perjalanan pergi dan balik mengambil masa enam jam, itu tidak menjadi penghalang dalam memastikan hak memilih anaknya dilaksanakan.
Katanya, PRK DUN Ayer Kuning merupakan pilihan raya pertama untuk Ahmad Saufi, 19.
“Tidak mengapa keluar belanja lebih untuk ambil dan hantar dia, apa yang penting kita dapat mendidik generasi muda mengenai tanggungjawab mengundi.
“Sebagai pengundi kali pertama, dia pun teruja dan bersiap awal untuk bersama saya ke pusat mengundi. Kami mahu jadi antara pengundi awal yang menunaikan tanggungjawab,” katanya ketika ditemui di Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Lesong di sini hari ini.
Menurut Mhd Roslan, dia tidak melepaskan peluang untuk mengundi pada pilihan raya kali ini dan ia merupakan pilihan raya kelapan sejak melepasi had umur layak mengundi.
“Harapan saya untuk calon yang akan menang nanti supaya dapat membangunkan kawasan ini dan membawa perubahan yang bersesuaian untuk penduduk setempat,” katanya.
Sementara itu, Ahmad Saufi yang merupakan pelajar Institut Kemahiran Mara (IKM), Sungai Petani mengakui gemuruh untuk menunaikan tanggungjawab sebagai pemilih kali pertama pada PRK DUN Ayer Kuning.
“Semasa pilihan raya umum lalu saya masih berusia 17 tahun, jadi tidak layak lagi mengundi. Kali ini apabila berpeluang, saya sendiri minta untuk balik.
“Memang gemuruh tapi ada juga rasa teruja. Ayah ada pesan untuk saya buat pilihan bijak, dia tidak pengaruhi saya untuk mengundi calon yang mana,” katanya. – UTUSAN