PETALING JAYA: Orang ramai menyokong saranan harga ubat dipamer di semua klinik swasta dan farmasi, bagi mengelakkan caj tersembunyi serta membebankan pengguna.
Tinjauan Utusan Malaysia semalam mendapati rata-rata mendakwa pernah dikenakan caj ubat yang tinggi tanpa perincian, selain berdepan kesukaran membuat perbandingan harga kerana tiadanya ketelusan dalam kos ubat yang diberikan.
Penuntut Universiti Kebangsaan Malaysia, Norazarina Mohd Azmi, 22, memuji langkah kerajaan agar memaparkan harga ubat, namun kerajaan perlu memperjelas pelaksanaannya kerana masih belum menyeluruh.
“Saya sendiri pernah dicaj terlalu mahal untuk ubat tetapi bagi saya, apa yang lebih penting adalah ketelusan dalam pelaksanaannya. Bagi saya, apabila kita pergi ke klinik swasta, kita sedia maklum bahawa mahal,” katanya.
Menurut Norazarina, pengguna biasanya tidak mengetahui nama atau jenis ubat yang diberikan, justeru sukar untuk mereka membuat pilihan meskipun harga dipaparkan.
“Kita cuma tengok harga, tapi tak boleh pilih ubat tanpa nasihat doktor. Kecuali kalau kita dah biasa guna ubat tu, baru kita tahu apa nak minta,” tambahnya.
Pekerja swasta, Nurhazlina Nasar, menceritakan pengalamannya dikenakan caj ubat mencecah RM150 tanpa penjelasan lengkap, hanya menerima bil ringkas tanpa pecahan harga.
“Saya rasa tertipu. Kalau harga dipamer lebih awal, sekurang-kurangnya kita boleh buat keputusan. Jangan bila dah sakit, baru tahu ubat mahal,” katanya.
Ibu tunggal, Sutinah Hakim, 45, pula berkata, ketelusan harga ubat amat penting khususnya bagi golongan berpendapatan rendah yang perlu membuat pilihan berdasarkan kemampuan.
“Anak saya menghidap asma, ubat bulanan memang perlu. Kalau tahu harga, saya boleh rancang perbelanjaan. Sekarang ni, semua bergantung kepada budi bicara klinik,” katanya.
Sementara itu, pelajar universiti, Nurul Izzah Rosli, 21, menyifatkan pemaparan harga ubat sebagai satu bentuk hak pengguna yang perlu dihormati oleh semua penyedia perkhidmatan kesihatan.
“Kalau makanan pun wajib letak tanda harga, kenapa ubat tidak? Kadang ubat biasa pun dikenakan caj tinggi. Bila harga dipamer, kita boleh tanya doktor atau minta alternatif,” ujarnya.
Semalam Presiden Persatuan Farmasi Malaysia (MPS), Prof. Amrahi Buang menegaskan pengguna berhak tahu harga ubat yang mereka terima dan membeli, sambil menyokong penuh cadangan agar harga ubat dipamer secara terbuka.
Beliau yang menggesa kerajaan mewujudkan sistem harga kawalan atau siling bagi mengelakkan jurang harga terlalu besar antara premis, sekali gus mencegah manipulasi berikutan sistem sedia ada menjejaskan akses kepada ubat yang adil dan mampu milik, terutama bagi mereka yang bergantung kepada sektor swasta apabila fasiliti awam tidak mencukupi. – UTUSAN