KUANTAN: Kerajaan negeri melalui Perbadanan Kemajuan Negeri Pahang (PKNP) akan bekerjasama dengan China Great Wall Industry Corporation (CGWIC) dan Lestari Angkasa Sdn. Bhd. untuk membangunkan Pelabuhan Angkasa Antarabangsa pertama di Asia Tenggara.
Projek yang akan digunakan untuk pelancaran roket membawa satelit ke angkasa itu dijangka siap seawal tiga hingga lima tahun akan datang di lokasi sama ada di Gebeng atau Pekan.
Lokasi Pahang yang strategik berdekatan dengan khatulistiwa dapat mengoptimumkan kos pelancaran roket ke angkasa.
Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perindustrian, Sains, Teknologi dan Inovasi negeri, Datuk Mohamad Nizar Najib berkata, tapak pelancaran roket antarabangsa itu dijangka mewujudkan 2,350 peluang pekerjaan.
“Pada masa sama ia juga memberikan limpahan ekonomi kepada sektor pelancongan dan peluang penyelidikan.
“Daripada segi kelebihan, saya dimaklumkan antara kawasan tapak yang optimal (dibangunkan) adalah di garisan Khatulistiwa di sekitar pantai timur khususnya Pahang dan Sabah,” katanya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang di Wisma Sri Pahang di sini.
Pada 15 April lalu, PKNP menandatangani surat hasrat (LOI) bersama CGWIC dan Lestari Angkasa bagi menjalin kerjasama strategik pembangunan sektor teknologi angkasa di Malaysia.
Mengulas lanjut, Mohamad Nizar berkata, PKNP dan Lestari Angkasa juga akan mengadakan lawatan kerja ke Wenchang Space City, Hainan, China pada Mei ini sebagai sebahagian daripada kajian kebolehlaksanaan dan kerja merancang pembangunan projek berkenaan.
“Kerajaan negeri sedang menilai dua cadangan bagi membangunkan bandar aeroangkasa atau ‘aerospace city’ yang meliputi kawasan Gebeng, Kuantan dan Pekan,” katanya. – UTUSAN