'Orang Melayu tiada duit beli barangan China'

‘Orang Melayu tiada duit beli barangan China’

TANGKAP layar menerusi klip video yang tersebar di platform X.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Seorang pengulas politik Amerika Syarikat (AS), Bill O’Reilly menyifatkan lawatan negara Presiden China, Xi Jinping ke Malaysia hanyalah sia-sia kerana orang Melayu tidak mempunyai wang untuk membeli barangannya.

O’Reilly yang dikenali sebagai pengulas politik konservatif di AS itu bukan hanya mempersoalkan lawatan Xi ke Malaysia bahkan turut memperlekehkan kehadiran Presiden China itu ke negara Asia Tenggara membabitkan Vietnam dan Kemboja.

“Hei Presiden Xi, biar saya berterus terang, mereka (Vietnam, Malaysia, Kemboja) tidak ada wang. Mereka tak boleh membantu China dan mereka tak akan membeli barangan China sebab mereka tidak ada wang,” katanya dalam satu klip video yang kini tular di laman sosial X.

Bekas pengacara televisyen itu juga menyindir lawatan kerja Xi ke Asia tenggara adalah mungkin untuk menyeludup barangan buatan China dengan mengguna label Vietnam namun katanya tindakan itu mudah terbongkar.

Beliau juga bingung dengan langkah diambil Presiden China itu yang memilih untuk ke Asia Tenggara kerana jika negara itu terlepas pasaran AS mereka akan menanggung kerugian.

“Jadi saya tak tahu apa sebenarnya ini, jika China kehilangan pasaran AS, ia hanya kacau, sebab kami (AS) ada wang, kami membeli barangan.

“Melayu tidak akan membeli barang kamu sebab mereka tiada wang,” katanya dalam klip video selama 56 saat tersebut.

Komen O’Reilly itu dibuat terhadap perang dagang yang sedang berlaku susulan tarif timbal balik yang dikenakan Presiden AS, Donald Trump terhadap China yang kini sudah mencecah 145 peratus.

Selasa lalu, Xi tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) untuk memulakan lawatan kerjanya ke Malaysia atas jemputan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim selama tiga hari.

Dalam lawatan kerjanya itu, sebanyak 31 Memorendum Persefahaman (MoU) antara Malaysia dan China ditandatangani termasuk membabitkan pelancongan dan teknologi Kecerdasan Buatan (AI).

Malaysia dan China telah menjalinkan hubungan diplomatik pada 31 Mei 1974. Kedua-dua negara meraikan ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik tahun lalu.

Selama 16 tahun berturut-turut sejak 2009, China kekal sebagai rakan dagangan terbesar Malaysia.

Jumlah dagangan antara kedua-dua negara bernilai RM484.12 bilion pada 2024, mewakili 16.8 peratus daripada jumlah keseluruhan dagangan global Malaysia (RM2.88 trilion). – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN