OKU cabul kanak-kanak di masjid dirujuk pakar psikiatri

OKU cabul kanak-kanak di masjid dirujuk pakar psikiatri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Remaja orang kurang upaya (OKU) yang tular mencabul kanak-kanak perempuan berusia 10 tahun di sebuah masjid akan dihantar ke Hospital Bahagia, Ulu Kinta, Perak untuk penilaian psikiatri.

Hakim Norshila Kamarudin memutuskan demikian selepas membenarkan permohonan peguam bela, Lingswaran Singh pada sebutan kes itu di Mahkamah Sesyen Ampang dekat sini, hari ini.

Peguam yang mewakili Muhamad Adam Haiqal Abdullah, 19, membuat permohonan tersebut mengikut Seksyen 342 Kanun Tatacara Jenayah.

“Berdasarkan interaksi kami dengan tertuduh dan dimaklumkan oleh ibu tertuduh, disokong dengan penilaian psikologi dari sebuah universiti awam pada 2022, tertuduh menunjukkan tingkah laku yang menimbulkan keraguan bahawa tertuduh mengalami masalah kewarasan dan tidak berupaya membela diri. 

“Memang sudah ada laporan penilaian itu tetapi sudah lama. Laporan ini adalah penentu sama ada dia layak untuk dibicarakan atau tidak,” kata peguam itu.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Nadiah Malek Fauzie memaklumkan bahawa semua dokumen telah lengkap kecuali laporan forensik rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dan laporan perubatan mangsa dari Hospital Selayang.

Selepas membenarkan permohonan peguam, Mahkamah menetapkan 22 Julai ini untuk sebutan semula kes bagi mengetahui status laporan pemeriksaan kesihatan mental tertuduh, laporan perubatan mangsa dan forensik CCTV. 

Pada 27 Februari lalu iaitu ketika pertama kali dihadapkan ke mahkamah, lelaki itu mengaku bersalah atas pertuduhan melakukan amang seksual fizikal ke atas seorang kanak-kanak perempuan di masjid Batang Kali, pada pukul 6.20 pagi, 21 Februari lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 boleh dihukum bawah Seksyen 14 akta sama, membawa hukuman penjara tidak melebihi 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.

Bagaimanapun, dia menukar pengakuan kepada tidak bersalah ketika sebutan kes untuk laporan sosial daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) pada 27 Mac.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM15,000 dengan seorang penjamin namun lelaki berkenaan kekal ditahan di Pusat Koreksional Puncak Alam selepas ahli keluarganya tidak mampu membayar wang jaminan tersebut.

Sebelum ini, Utusan Malaysia melaporkan lelaki itu ditahan selepas dipercayai mencabul seorang murid perempuan ketika solat Subuh di sebuah masjid.

Rakaman CCTV masjid menunjukkan suspek yang berkopiah putih menyelinap masuk ke ruang solat wanita sebelum memeluk mangsa dari arah belakang dan membawa kanak-kanak itu keluar.

Ketika kejadian, kanak-kanak itu sedang sujud bersendirian di saf belakang tanpa disedari jemaah wanita lain.  – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya