KUALA NERUS: Penyumbang utama kepada sasaran 45 juta pelancong yang melawat Malaysia pada tahun ini adalah pengunjung dari negara jiran berdekatan.
Ketua Pengarah Tourism Malaysia, Datuk Manoharan Periasamy berkata, jarak yang dekat menjadikan Malaysia sebagai pilihan utama pelancong dari negara jiran seperti Singapura, Indonesia, Thailand, Brunei dan Filipina.
“Ini membolehkan mereka merancang percutian dalam masa yang singkat berbanding negara-negara lain yang lebih jauh. Penyumbang kedua terbesar dari sasaran 45 juta pelancong itu pula ialah pelancong dari China, India dan negara Timur Tengah.
“Pasaran jarak jauh pun ada contohnya dari Eropah dan Amerika Syarikat, namun kebiasaannya mereka perlu membuat perancangan bercuti itu tiga atau empat bulan lebih awal. Jadi, pelancong dari negara jiran terdekat adalah sasaran utama kita,” katanya selepas menghadiri Sesi Libat Urus bersama Penggiat Industri Pelancongan Terengganu, di sini hari ini.
Semalam, akhbar melaporkan Tourism Malaysia optimis dapat mencapai sasaran kedatangan 45 juta pelancong pada tahun ini berdasarkan rekod positif kemasukan 38 juta pelancong pada tahun lalu.
Selain itu, beliau berkata, antara yang menjadi tumpuan dalam sesi libat urus itu ialah penerangan mengenai inisiatif dan peluang yang ditawarkan oleh Tourism Malaysia serta Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) kepada penggiat industri untuk merancakkan lagi sambutan Tahun Melawat Malaysia 2026. – UTUSAN