NCER merangkumi Kedah antara jasa besar Pak Lah

NCER merangkumi Kedah antara jasa besar Pak Lah

ALLAHYARHAM TUN ABDULLAH AHMAD BADAWI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Pemergian Perdana Menteri Ke-5, Allahyarham Tun Abdullah Ahmad Badawi meninggalkan kesan mendalam terhadap negara termasuk pembangunan negeri Kedah.

Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, sepanjang menerajui kerajaan bermula 31 Oktober 2003 hingga 2 April 2009, banyak legasi hasil usaha dilakukan Abdullah yang mesra disapa Pak Lah.

Katanya, kerajaan negeri Kedah menzahirkan rasa dukacita dan berkongsi kesedihan atas pemergian beliau ke rahmatullah di Institut Jantung Negara (IJN), pada petang semalam. 

“Sesungguhnya, negara kehilangan seorang tokoh negarawan yang banyak berjasa kepada tanah air, khususnya dalam aspek pembangunan modal insan.

“Antaranya pembangunan ekonomi yang difokuskan mengikut koridor wilayah, termasuk Koridor Pembangunan Ekonomi Utara (NCER) merangkumi negeri Kedah yang masih giat dilaksanakan sehingga kini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Muhammad Sanusi berkata, Perdana Menteri Ke-5 itu turut dikenang atas keprihatinannya terhadap bidang pendidikan Islam. 

Ujarnya, subjek jawi, al-Quran, bahasa Arab dan Fardu Ain (J-QAF) diperkenalkan dalam sistem pembelajaran di sekolah-sekolah pada tahun 2004 iaitu ketika zaman pentadbiran Abdullah.

“Selain itu, beliau juga dikenali atas usaha memajukan industri halal, mengamalkan dasar kepimpinan yang terbuka serta memperkasa seni budaya kebangsaan khususnya dalam memperkenalkan batik sebagai salah satu warisan budaya negara.

“Adalah menjadi harapan kita semua agar segala jasa bakti beliau kepada rakyat dan negara dikira sebagai amal jariah yang berterusan pahalanya di sisi Allah SWT,” katanya.

Muhammad Sanusi turut mendoakan semoga Allah SWT mencucuri rahmat ke atas roh Allahyarham dan menempatkannya dalam kalangan hamba-hamba-Nya yang beriman. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN