Seramai 102 orang murid Orang Asli etnik Jahut dan 13 orang guru telah memeriahkan program Jamuan Raya peringkat sekolah di Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Kiol, Jerantut, Pahang baru-baru ini.
Jamuan berkenaan turut dihadiri oleh ahli Jawatan Kuasa Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) , kaki tangan pengurusan termasuk pekerja kebersihan sekolah itu.
Kemuncak majlis jamuan itu selain hidangan juadah seperti lemang dan kuih-muih turut juga diserikan dengan persembahan nyanyian lagu hari raya menerusi pertandingan yang disertai seramai 15 orang murid sekolah tersebut termasuk menggayakan busana hari raya yang menarik.
Guru Besar SK Sungai Kiol, Jerantut, Rosdi Mat Diah berkata, kelazimannya setiap tahun pentadbir dan guru di situ menganjurkan jamuan hari raya untuk murid sekolah tersebut dan tetamu kalangan ahli PIBG dan bekas guru.
“Seperti sebelum ini, jamuan ini untuk meraikan seramai 14 orang murid Orang Asli yang beragama Islam, namun sebagai sebuah keluarga sekolah ini malahan tinggal sekampung pula, majlis ini juga disertai kalangan mereka (murid) yang bukan beragama Islam di sini.
“Kehadiran murid disantuni serta diraikan sebagai sebuah keluarga yang terlibat dengan jamuan hari raya setiap tahun dan kelihatan mereka lebih seronok menikmati juadah yang disediakan,” katanya kepada Utusan Pelajar di SK Sungai Kiol.
Menurut Rosdi, pihak sekolah juga berterima kasih kepada ahli jawatan kuasa PIBG dan beberapa orang tetamu luar yang turut bersama membantu program jamuan tersebut. – UTUSAN