KANGAR: Cantik dan lebih bergaya selain mampu menyemarakkan semangat patriotik dan cintakan negara dalam kalangan murid sekolah.
Itu reaksi teruja Cindy Lee Jia Xin, 12, dan rakan-rakan lain dari Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Cina Khoon Aik ketika mula memakai lencana Jalur Gemilang di pakaian seragam sekolah mereka.
Pemakaian lencana Jalur Gemilang itu dilaksanakan secara berperingkat di seluruh negara bermula semalam.
Cindy Lee berkata, pakaian seragam sekolah lebih menyerlah dengan adanya lencana Jalur Gemilang di bahagian kanan pakaian itu.
Dia cukup bangga dapat memakai lencana Jalur Gemilang tersebut dan akan menyarankan rakan-rakan lain untuk sama memakainya.
“Apa yang lebih penting adalah bagi menanam semangat patriotisme, cintakan negara dan rasa penghormatan tertinggi pada Jalur Gemilang yang perlu disemat sejak kecil lagi.
“Murid-murid lain juga sangat teruja apabila kami mula memakai lencana Jalur Gemilang ini. Kita dibekalkan dengan dua lencana tersebut,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Kementerian Pendidikan membekalkan sebanyak dua pin lencana Jalur Gemilang secara percuma kepada semua murid untuk sesi persekolahan 2025/2026 dengan pengedaran dilaksanakan secara berperingkat.
Murid yang tidak memakai lencana Jalur Gemilang tidak dikenakan tindakan memandangkan inisiatif berkenaan dilaksanakan untuk memupuk semangat patriotisme dan bukan bertujuan menghukum.
Rakannya, Balqis Adriana Batrisyia Chan, 12, pula berkata, sebelum ini, mereka hanya memakai tanda nama serta logo sekolah dan kini ditambah lencana Jalur Gemilang.
“Lencana ini sesuai dipakai dan mudah dipasang selain menaikkan lagi semangat saya untuk belajar dan menjadi murid terbaik di sekolah,” katanya.










