TAPAH: Profil calon Barisan Nasional (BN) mampu menarik pengundi terutama golongan muda pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning pada 26 April ini.
Ketua Sekretariat War Room UMNO Pusat, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, Dr. Mohamad Yusri Bakir mempunyai ‘aura’ tersendiri dengan latar belakang pendidikan yang tinggi selain mudah mesra dengan rakyat.
“Beliau ada PHD (Ijazah Doktor Falsafah dalam Pendidikan Islam Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dan merupakan bekas pensyarah kanan serta seorang guru.
“Dia pernah mengajar selain mengajar bakal guru jadi sebenarnya telah mendekati golongan muda sejak dahulu lagi,” katanya semasa berucap di Pusat Operasi BN Banir di sini semalam.
Pada PRK DUN Ayer Kuning, calon BN, Dr. Mohamad Yusri Bakir menghadapi saingan tiga penjuru dengan calon Perikatan Nasional (PN) Abd.Muhaimin Malek dan Parti Sosialis Malaysia (PSM), Bawani KS.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian awal pada 22 April dan hari pengundian pada 26 April depan yang melibatkan 31,897 pemilih. – UTUSAN