MMU perkenal fakulti AI

MMU perkenal fakulti AI, inisiatif keperluan ekonomi digital

STEVEN Sim (tengah), melawat reruai FAIE semasa sambutan Hari Sedunia bagi Keselamatan dan Kesihatan di Tempat Kerja 2025 di Dewan Tun Canselor, MMU Cyberjaya.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

CYBERJAYA: Universiti Multimedia (MMU) hari ini memperkenalkan Fakulti Kecerdasan Buatan dan Kejuruteraan (FAIE) bagi memperkukuhkan lagi komitmen universiti dalam memajukan bidang pendidikan dan penyelidikan kecerdasan buatan (AI).

Presiden MMU, Prof. Datuk Dr. Mazliham Mohd Su’ud berkata, fakulti yang sebelum ini dikenali sebagai Fakulti Kejuruteraan (FOE), kini ditransformasi kepada FAIE bagi melaksanakan sebahagian daripada inisiatif MMU untuk memenuhi keperluan ekonomi digital yang berkembang pesat serta membawa teknologi AI ke tahap lebih tinggi.

“Transformasi ini sebagai keputusan strategik untuk memastikan hala tuju akademik universiti adalah seiring dengan trend global semasa dalam bidang teknologi.

“Integrasi AI gunaan dalam pendidikan kejuruteraan amat penting untuk melahirkan graduan masa hadapan yang memenuhi keperluan industri moden.

“AI sedang mengubah semua aspek kehidupan dengan pantas dan MMU mahu pelajarnya menjadi penyumbang besar kepada perubahan tersebut,” katanya.

FAIE diperkenalkan sempena Majlis Sambutan Hari Sedunia bagi Keselamatan dan Kesihatan Tempat Kerja (World OSH Day) 2025 di Dewan Tun Canselor, Universiti Multimedia di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Mazliham berkata, FAIE turut menawarkan program baharu, iaitu Ijazah Sarjana Muda Sains (Kepujian) dalam Kecerdasan Buatan Gunaan yang direka untuk memberikan pengalaman praktikal kepada pelajar dalam teknologi AI termasuk pembelajaran mesin, automasi dan sistem pintar.

“Ia bermatlamat untuk melahirkan graduan yang mampu mereka bentuk dan melaksanakan penyelesaian dalam bidang seperti penjagaan kesihatan, pengangkutan, pertanian serta perkhidmatan digital peribadi,” katanya.

Tambahnya lagi, program kejuruteraan sedia ada di bawah fakulti berkenaan juga telah dikemas kini dengan ditambah dengan komponen AI termasuk program kejuruteraan elektrik, elektronik, elektronik dan telekomunikasi, serta elektronik dengan tumpuan kepada sistem komputer.

Jelas beliau, dengan memasukkan elemen AI ke dalam kurikulum kejuruteraan, MMU berhasrat memastikan pelajarnya memperoleh kemahiran teknikal lanjutan yang diperlukan untuk berjaya dalam ekonomi digital.

“Untuk menyokong transformasi ini, FAIE dilengkapi dengan makmal dan kemudahan penyelidikan baharu yang memfokuskan kepada teknologi AI.

“Kemudahan ini bertujuan menggalakkan pembelajaran dan penyelidikan secara praktikal sambil memupuk kerjasama antara pelajar, staf akademik, dan rakan industri. Ia juga berfungsi sebagai hab inovasi, menghubungkan kemajuan akademik dengan aplikasi dunia sebenar,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN