MKLSB kesal kerajaan usir secara mengejut 

MKLSB kesal kerajaan usir secara mengejut 

ABDUL Hamid Shaikh Abdul Razak memberikan kenyataan kepada pengamal media di Hotel WP, Jalan Tunku Abdul Rahman, Kuala Lumpur. – UTUSAN/NUR ATHIRAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Menara Kuala Lumpur Sdn Bhd (MKLSB) kesal dengan tindakan kerajaan mengusir mereka secara mengejut dari Menara Kuala Lumpur menerusi satu operasi berskala besar pada lewat malam semalam.

Pengarah Urusannya, Datuk Abdul Hamid Shaikh Abdul Razak berkata, alasan penutupan menara atas nama penyelenggaraan seperti dinyatakan dalam notis awam adalah tidak benar, sebaliknya merupakan tindakan penyitaan dan pengusiran secara paksa. 

“Menuduh bahawa kami gagal mengurus juga tidak berasas sama sekali, lebih-lebih lagi berdasarkan laporan rasmi Ketua Penolong Setiausaha Kementerian Komunikasi, Menara Kuala Lumpur telah mencapai 100 peratus prestasi kemajuan kerja serta memenuhi obligasi kontrak tanpa sebarang isu,” katanya semasa sidang media khas, di sini hari ini.

Abdul Hamid mendakwa dalam operasi berskala besar pada lewat malam semalam itu turut melibatkan kehadiran Ketua Pegawai Eksekutif LSH Service Masters Sdn Bhd (LSHSM), Khairil Faizal Othman dan pasukannya.

Rentetan itu, bangunan Menara Kuala Lumpur ditutup buat sementara waktu bermula hari ini bagi memberi ruang kepada pengurusan baharu melakukan kerja-kerja penyelenggaraan serta penambahbaikan demi keselamatan dan keselesaan pengunjung.

Utusan Malaysia semalam melaporkan, seramai 193 daripada 205 kakitangan Menara Kuala Lumpur yang ditamatkan perkhidmatan oleh syarikat konsesi lama pada 31 Mac lalu bakal diserap semula oleh syarikat pengurusan baharu. 

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil dipetik sebagai berkata, pihaknya memastikan kebajikan para pekerja terbela dengan menetapkan syarat agar kesemua kakitangan berpengalaman ditawarkan semula pekerjaan oleh LSHSM tanpa sebarang pengurangan daripada segi gaji atau faedah.

Sementara itu, Abdul Hamid mendakwa beberapa tuduhan dilemparkan oleh Fahmi terhadap MKLSB juga adalah tidak tepat, khususnya mengenai skydeck dan restoran berputar.

“Kami bukan tidak menjaga skydeck dan restoran berputar, sebaliknya fasiliti berkenaan dikosongkan kerana ia merupakan aset MKLSB, bukan hak milik kerajaan yang terpaksa dilupuskan.

“Pihak kerajaan mahupun LSHSM juga tidak mahu membayar pengambilan aset-aset tersebut,” katanya.

Abdul Hamid turut mendakwa sebelum ini Kementerian Komunikasi tidak pernah memanggil pihak MKLSB dan LSHSM untuk berbincang mengenai isu Menara Kuala Lumpur.

“Sewaktu kami dengan Telekom Malaysia (TM) dulu memang hampir setiap dua hari akan ada perbincangan sebab kena pastikan pelbagai perkara, namun selepas itu tidak lagi,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya