KUALA LUMPUR: Penyanyi terkenal, Misha Omar mengakui pernah berhasrat untuk bersara daripada dunia seni apabila suaminya merancang untuk berhijrah kerana komitmen kerja.
Menurut Misha atau nama sebenarnya Samihah Omar, 43, perkara tersebut berlaku beberapa tahun lalu apabila suaminya, Firos Ezwan Rosli yang merupakan seorang juruterbang, berhasrat untuk berhijrah atas urusan kerja.
“Sebenarnya hasrat untuk bersara itu pernah ada. Beberapa tahun lalu, saya ada terfikir untuk bersara sebab suami ada dapat tawaran kerja baharu di luar negara.
“Kalau suami betul-betul berhijrah, saya memang terfikir untuk berhenti menyanyi sebab tak sanggup biarkan dia sendirian. Siapa yang tak sayang suami sendiri,” katanya ketika ditemui pada majlis Rumah Terbuka Raya Bersama Sony Music Malaysia di sini, semalam.
Namun begitu, penyanyi lagu Bunga-Bunga Cinta itu berkata, hasrat tersebut akhirnya tidak diteruskan apabila suaminya, menolak tawaran tersebut selepas mempertimbangkan beberapa faktor termasuk pendidikan anak-anaknya.
“Alhamdulillah, saya masih berada di sini dan Tuhan belum izinkan saya ‘pencen’.
“Waktu itu pula, anak sulung kami, Muhammad Adam Emir, bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Jadi akhirnya, suami menolak tawaran itu,” katanya.
Sementara itu, Misha turut berkongsi, sekiranya hari itu tiba, dia berharap detik bersaranya kelak berlaku dalam keadaan tenang dan tanpa sebarang pengumuman besar.
“Saya selalu berserah kepada Tuhan dalam apa jua hal. Kalau sampai masa untuk bersara, biarlah ia berlaku secara semula jadi. Saya tak rasa perlu pun buat pengumuman rasmi.
“Saya pula jenis yang akan fikir habis-habis sebelum buat sebarang keputusan. Saya akan bertanya banyak kali kepada rakan-rakan terdekat sebelum buat sesuatu yang besar,” katanya.
Terdahulu, Misha mendirikan rumah tangga bersama Firos pada 2 Mei 2014 dan dikurniakan seorang anak lelaki, Muhammad Idris Ezzwa serta mempunyai seorang anak angkat, Muhammad Adam Emir.-UTUSAN