SEREMBAN : Usaha memperkasa pembangunan profesionalisme guru bimbingan dan kaunseling terus diperkukuh apabila Majlis Guru Kaunseling Kebangsaan (MGKK) menandatangani memorandum persefahaman (MoU) bersama Enforcement, Leadership and Management University (ELMU) di kampus institusi itu di Bandar Enstek di sini.
Majlis menandatangani MoU itu menyaksikan Ketua Eksekutif dan Naib Canselor ELMU, Profesor Datuk Dr. Kassim Noor Mohamed mewakili universiti berkenaan manakala Yang Dipertua MGKK, Ismail Hashim mewakili pertubuhan berkenaan.
Kassim dalam ucapannya menyifatkan kerjasama strategik itu sebagai permulaan kepada satu jalinan mampan yang akan membuka ruang lebih luas kepada pembangunan ilmu, kepakaran dan peluang akademik dalam kalangan warga guru kaunseling.
“Signifikan program ini untuk membincangkan pencapaian, merancang hala tuju masa depan dan mengenal pasti isu semasa yang berkaitan perkhidmatan bimbingan dan kaunseling.
“Ia juga berperanan sebagai platform memperkukuh jaringan kerjasama dan meningkatkan tahap profesionalisme dalam kalangan ahlinya iaitu guru kaunseling,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut menegaskan pentingnya peranan guru bimbingan dan kaunseling dalam membentuk pelajar bukan sahaja cemerlang akademik, tetapi juga seimbang dari sudut emosi, sosial dan jati diri.
“Guru kaunseling membantu pelajar meneroka laluan kerjaya, membuat pilihan bidang pengajian, mengurus emosi dan memperjuangkan keperluan mereka. MoU ini akan menyokong usaha tersebut secara holistik dan berimpak,” katanya lagi.
Kassim turut memuji usaha Kementerian Pendidikan dalam memperkenalkan pemakaian lencana Jalur Gemilang di sekolah serta memainkan lagu Negaraku setiap pagi di ELMU sebagai langkah membina identiti nasional.
“Sebagai badan profesional yang bertanggungjawab terhadap pembangunan sahsiah murid, MGKK wajar mendukung usaha kerajaan Madani dalam membentuk generasi berjiwa besar dan cinta negara,” ujarnya.
Majlis itu dirasmikan oleh Pengarah Yayasan Negeri Sembilan, Dato’ Muhammad Nazri Kassim dan dihadiri hampir 200 guru bimbingan dan kaunseling dari seluruh negeri.
Turut hadir ialah, Timbalan Presiden merangkap Pendaftar ELMU, Datuk Wan Azman Wan Omar serta Yang Dipertua MGKK Negeri Sembilan, Azril Razali.- UTUSAN