PETALING JAYA: “Gambar seperti itu (dipeluk wanita), pada saya benda biasa saja.”
Demikian respons vokalis kumpulan The Typewriter, Azlan ketika mengulas mengenai sebuah foto yang memaparkan dirinya mesra dipeluk seorang wanita di media sosial, baru-baru ini.
Tidak gentar dihentam kecaman, Azlan bagaimanapun menganggap perkata itu bukanlah sesuatu yang perlu diperbesarkan.
“Saya ada ramai kenalan wanita, nama mereka pun kadang-kadang saya tidak tahu. Saya pun tidak kenal perempuan itu. Saya rasa mungkin ada banyak lagi gambar lain. Jadi, bagi saya perkara ini tiada apa. Selagi gambar itu bukan gambar bogel tidak mengapa,” katanya.
Azlan berkata demikian ketika ditemui di majlis Rumah Terbuka Raya Bersama Indigital Music dan FYP Media, pada Selasa.
Mengulas lanjut, penyanyi lagu Jangan Khianati Aku itu berkata perkara tersebut adalah normal bagi dirinya yang adakalanya perlu ‘bertugas’ pada waktu malam.
Malah, dia juga tidak boleh menghalang mana-mana pihak dari memuat naik gambar bersamanya di media sosial.
“Saya kadang-kadang ada ‘tugas’ malam. Jadi, saya dikelilingi orang yang aktif pada waktu malam. Kalau mereka mahu muat naik gambar itu, biarkan sahaja. Saya tiada isu sebab yang penting saya tahu tanggungjawab saya untuk keluarga cukup,” ujarnya.
Dalam masa sama, Azlan menegaskan bahawa dirinya masih bergelar suami orang.
Terdahulu, tular di media sosial sebuah foto Azlan mesra dipeluk oleh seorang wanita sekaligus menuai kecaman orang ramai.
Gambar tersebut bagaimanapun telah dipadam oleh wanita terbabit beberapa minit selepas dimuat naik.
Untuk rekod, Azlan telah mendirikan rumah tangga dengan Normala Hassan pada Januari 2011.-UTUSAN