KUALA LUMPUR: Beberapa platform media utama Malaysia mula menyiarkan kandungan terpilih terbitan Kumpulan Media China (CMG) yang dilancarkan secara rasmi di negara ini.
Timbalan Menteri Jabatan Publisiti Jawatankuasa ‘CPC Central Committee’ (CPC), Shen Haixiong dalam ucapannya menekankan China dan Malaysia sudah sekian lama menjadi jiran yang rapat, rakan pembangunan yang ikhlas dan saudara dalam persahabatan.
“Pada tahun lalu, semasa perbincangan antara kedua-dua pemimpin, Presiden Xi Jinping dan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mereka berikrar memperdalamkan pembinaan masa depan bersama China-Malaysia.
“Di samping itu kedua-dua pemimpin saling menyokong matlamat pembangunan masing-masing,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Penyiaran kandungan terpilih ditayangkan bersempena lawatan negara Presiden China, Xi Jinping selama tiga hari bermula 15 April lalu.
Beberapa produksi terbaik CMG seperti The Heritage Guardian, Aerial China, Edisi Xinjiang, Up and Out of Poverty, China Traditional Medicine Conference, China Race to the Future dan Gen Z Talks disiarkan di platform media utama tempatan seperti Bernama TV, TV Alhijrah, Coolita dan 8TV.
Haixiong yang juga Presiden Kumpulan Media China berkata, tayangan berkenaan yang dianjurkan bersama oleh CMG dan media Malaysia adalah inisiatif penting dalam memperkukuh pertukaran budaya dan mempereratkan hubungan persahabatan antara kedua-dua negara.
“Melalui siaran dokumentari dan program premium, penonton negara ini akan memperoleh pemahaman lebih mendalam mengenai visi Presiden Xi Jinping, usaha-usaha pengurangan kemiskinan di China, kehangatan dan layanan mesra rakyat China, serta kekayaan budaya China.
“Inisiatif ini bertujuan memberikan gambaran menyeluruh dan autentik mengenai China moden sebagai sebuah negara yang boleh dipercayai, menawan dan dihormati,” katanya.
Katanya, pameran itu adalah sebahagian daripada usaha berterusan Kumpulan Media China untuk memperkenalkan produksi berkualiti tinggi dari China kepada penonton Malaysia sekali gus memperkayakan landskap media dan mengeratkan lagi hubungan budaya antara kedua-dua negara.
Pameran kandungan premium yang dinanti-nantikan anjuran Kumpulan Media China (China Media Group atau CMG) sudah pun dilancarkan secara rasmi di Malaysia.-UTUSAN