HULU TERENGGANU: Hasrat seorang lelaki pulang ke rumah isterinya di Johor dari Kelantan tidak kesampaian setelah maut kemalangan di Kilometer 379.4 Lebuhraya Pantai Timur ( LPT2), Ajil-Bukit Besi, di sini hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 11.30 pagi itu, Che Rosli Che Mat,57, beralamat di Pasir Puteh, Kelantan yang tersepit di tempat duduk pemandu dibawa keluar dari kenderaan oleh sepasukan anggota Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Berang.
Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Superintenden Sharudin Abdul Wahab berkata, kemalangan dipercayai berlaku apabila kereta jenis Honda City dipandu mangsa tiba-tiba hilang kawalan.
“Mangsa memulakan perjalanan lebih kurang pukul 8.30 pagi dari rumahnya di Kelantan menghala ke rumah isterinya di Segamat, Johor. Sampai di tempat kejadian, kereta dipandu mangsa telah hilang kawalan lalu terbabas melanggar penghadang jalan di sebelah kiri sebelum masuk ke dalam longkang,” katanya ketika dihubungi.
Kata beliau, mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Hulu Terengganu untuk tindakan selanjutnya dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – UTUSAN