PETALING JAYA: Pemimpin dunia dilihat bersikap hipokrit apabila ada yang hadir memberikan penghormatan terakhir kepada mendiang Pope Francis namun dalam masa sama terus menyokong atau berdiam diri ketika Gaza masih lagi dibedil Zionis.
Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Mohamad Sabu berkata, meskipun ramai pemimpin dunia berdiri dengan wajah penuh hormat dalam majlis penghormatan tersebut, kehadiran mereka tetap dilihat ironi memandangkan ramai di antara mereka adalah penyokong tegar Israel.
“Mereka hadir memberikan penghormatan kepada seorang pemimpin agama yang lantang menentang kezaliman di Gaza, tetapi dalam masa yang sama terus menyokong atau membisu terhadap kekejaman yang sama.
“Malah, mereka berdiri di situ dengan wajah penuh hormat seolah-olah turut berkongsi nilai perjuangan kemanusiaan yang didokong oleh Pope Francis sepanjang hayatnya. Ironi, itulah kata yang tepat,” katanya dalam kenyataan di laman Facebook, hari ini.
Mohamad Sabu berkata, tindakan tersebut jelas memperlihatkan wajah sebenar hipokrasi yang membelenggu kepemimpinan dunia yang lebih mementingkan kepentingan politik daripada mempertahankan nilai-nilai kemanusiaan sejagat.
“Inilah wajah sebenar hipokrasi pemimpin-pemimpin utama dunia, yang semalam kita saksikan dengan mata kepala sendiri,” katanya.
Menurutnya, Amanah tetap berpegang teguh bahawa perjuangan menentang kekejaman Zionis bukan sekadar soal agama, sebaliknya merupakan isu kemanusiaan yang perlu diperjuangkan tanpa kompromi.
“Parti Amanah terus berpegang bahawa perjuangan menentang kekejaman Zionis bukan soal agama semata-mata, tetapi soal kemanusiaan.
“Malangnya, pemimpin dunia lebih takut kehilangan kuasa politik berbanding mempertahankan nilai-nilai kemanusiaan,” katanya. – UTUSAN