PETALING JAYA: Majlis Amanah Rakyat (Mara) tidak akan menaja pelajar yang telah menerima tajaan atau bantuan kewangan daripada agensi lain.
Ketua Pengarahnya, Datuk Zulfikri Osman berkata, perkara itu telah dinyatakan secara jelas dalam garis panduan permohonan Program Penajaan Pengajian Tertiari (TESP) yang dibuka pada November tahun lalu dan ia bukanlah syarat baharu.
“Syarat ini telah ditetapkan sejak puluhan tahun lalu. Sebagai analogi mudah, jika seseorang ingin membeli rumah baharu, dia tidak boleh menerima pembiayaan daripada dua bank berbeza.
“Begitu juga dengan pembiayaan pelajaran. Mara mahu memberi peluang kepada pelajar Bumiputera yang belum pernah menerima bantuan daripada mana-mana penaja lain untuk mendapat bantuan pinjaman pelajaran,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau mengulas isu pelajar Universiti Islam Antarabangsa Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (UNISHAMS) yang permohonan penajaan Mara ditolak kerana telah menerima pinjaman daripada Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).
Mengulas lanjut, Zulfikri berkata, Mara kekal komited dalam menyediakan kemudahan pinjaman pelajaran bagi memastikan akses kepada pendidikan tinggi yang berkualiti dan berdaya saing dalam kalangan bumiputera.
Menurut beliau, sejak 1999, Mara telah menaja seramai 423 pelajar UNISHAMS dengan 173 daripadanya masih aktif menerima tajaan dalam pelbagai bidang termasuk 144 pelajar dalam bidang perubatan.
“Setakat 31 Mac lalu, Mar sedang menaja seramai 4,510 pelajar bumiputera dalam bidang perubatan di dalam negara,” katanya.