PETALING JAYA : Peminjam Majlis Amanah Rakyat (Mara) yang terkesan akibat kebakaran paip gas di Putra Height, Subang Jaya ditawarkan moratorium bayaran balik pinjaman selama enam bulan.
Pengerusi Mara, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, langkah tersebut dibuat bagi mengurangkan beban peminjam terbabit susulan musibah itu.
“Mara tawarkan moratorium (penangguhan pembayaran balik pinjaman) kepada mangsa kebakaran Putra Heights hingga enam bulan.
“Moga dapat kurangkan bebanan musibah,” katanya di akaun Facebook miliknya hari ini.
Bagaimanapun beliau tidak menyatakan jumlah peminjam Mara yang terbabit dengan kejadian itu.
Terdahulu, beberapa institusi kewangan dan syarikat insurans turut menawarkan kemudahan bagi membantu meringankan beban mangsa kebakaran sama ada menerusi moratorium atau mengenepikan caj-caj tertentu. – UTUSAN