PUTRAJAYA: Presiden Maldives, Mohamed Muizzu menzahirkan penghargaan kepada kerajaan Malaysia atas sokongan berterusan dalam menyediakan peluang pendidikan tinggi kepada pelajar Maldives.
Menurut beliau, lebih 600 peluang biasiswa telah ditawarkan oleh institusi pengajian tinggi (IPT) Malaysia kepada pelajar Maldives, sekali gus memperkaya kehidupan individu dan menyumbang kepada pembangunan negaranya.
“Saya amat menghargai sokongan yang diberikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dan kerajaan Malaysia khususnya melalui pengaturan visa mesra pelajar seperti Visa Penjaga untuk keluarga pelajar Maldives,” katanya dalam sidang akhbar bersama di Bangunan Perdana Putra, di sini hari ini.
Mohamed Muizzu berkata, dasar mesra pelajar ini telah mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai destinasi pilihan utama bagi rakyat Maldives yang ingin melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi.
Kedua-dua pemimpin turut menekankan kepentingan memperkukuhkan hubungan antara rakyat dan meningkatkan kefahaman bersama, serta menggalakkan kerjasama antara institusi pengajian tinggi di Malaysia dan Maldives.
Mereka juga menegaskan komitmen untuk menyediakan lebih banyak peluang serta persekitaran yang menyokong kepada pelajar, termasuk melalui kelonggaran rejim visa untuk melanjutkan pelajaran di negara masing-masing. – UTUSAN