Malaysia raih gangsa dalam Piala Dunia Pastri 2025

Malaysia raih gangsa dalam Piala Dunia Pastri 2025

LOI Ming Ai (dua dari kanan) sebagai jurularih bagi pasukan Malaysia dalam pertandingan The Coupe du Monde de la Pâtisserie yang berlangsung di Perancis, Januari lalu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pasukan Malaysia berjaya memperoleh pingat gangsa selepas bersaing dengan 18 pasukan pastri terkemuka dunia dalam The Coupe du Monde de la Pâtisserie 2025 di Lyon, Perancis, Januari lalu.

Diilhamkan oleh tema ‘Warisan Negara’, cef-cef dari pasukan Malaysia ini telah membawa nama negara dengan ciptaan pastri mereka yang unik dan inovatif.

Pengarah Pembangunan Perniagaan, QSR Asia & Horeca & Bakery Filipina, FrieslandCampina Professional, Majid Zaman berkata, memenangi pingat gangsa di Coupe du Monde de la Pâtisserie 2025 adalah satu pencapaian besar dan beliau turut berbangga dengan pasukan Malaysia yang dilatih oleh Cef Loi Ming Ai itu.

Katanya, bersaing di peringkat antarabangsa memerlukan kemahiran, dedikasi dan kreativiti yang luar biasa dan mereka telah berjaya menunjukkan bakat pastri dari Malaysia kepada mata dunia.

“Kemenangan ini bukan sekadar kebanggaan untuk pasukan tetapi untuk seluruh industri pastri Malaysia, dan kami teruja untuk terus menyokong chef-chef sambil mereka melangkaui sempadan kecemerlangan,” tambahnya.

Sementara itu, jurulatih Cef Loi Ming Ai berkata, semasa sesi soal jawab di Hotel Majestic, Kuala Lumpur semalam, cabaran terbesar dalam pertandingan ini adalah menyeimbangkan kreativiti dengan kombinasi perisa dalam menggambarkan warisan negara.

Menurut Ming Ai, mereka memilih kuih loyang sebagai elemen tradisional dan burung merak bagi menggambarkan bangsa Cina dan India di Malaysia.

“Kuih loyang amat sinonim dengan zaman kanak-kanak tidak mengira bangsa. Jadi, kami ingin membawa elemen tersebut dengan olahan dan inovasi dalam masa yang sama menggambarkan suasana Hari Raya,” katanya.

‘SHOW Chocolat, Loyang’, satu penghormatan luar biasa kepada manisan Malaysia, menggabungkan tradisi dan sentuhan moden untuk memikat deria.

Loi berkata, selain itu mereka juga berdepan cabaran dengan masa dan suhu semasa menyediakan tiga hidangan pencuci mulut tersebut.

Katanya, mereka perlu menyediakan ketiga-tiga pencuci mulut itu dalam masa sembilan jam tanpa henti.

“Kami telah membuat latihan sebanyak 10 kali sebelum hari pertandingan tiba. Semasa pertandingan bermula, kami hanya ada masa beberapa saat untuk berehat kerana setiap minit yang berlalu amat berharga,” jelasnya.

Pasukan Malaysia dianggotai oleh Fong Kah Mun (pakar coklat), Foo Yi Qing (pakar gula) dan Tyler Tan (pakar ais).

The Coupe du Monde de la Pâtisserie sekali lagi telah menetapkan inovasi dan kesenian pastri untuk peringkat global, mencabar cef-cef pastri terbaik dunia untuk menjangkau sempadan kreativiti, teknik dan seni ketukangan pastri.

Pertandingan yang berlangsung dua tahun sekali ini telah dijuarai oleh negara Jepun dan diikuti oleh Perancis untuk tahun ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya