Malaysia mampu berdikari hadapi tekanan tarif AS - Utusan Malaysia

Malaysia mampu berdikari hadapi tekanan tarif AS

ANWAR Ibrahim merasmikan penambahbaikan dan penaiktarafan Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah (LTSAS) Ipoh hari ini. - UTUSAN/MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Negara mampu berdikari dan berusaha untuk menghadapi kesan pelaksanaan tarif oleh Amerika Syarikat (AS).

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, untuk itu beliau kini giat menjalinkan hubungan baik dengan pelbagai negara bagi meningkatkan potensi rakan dagang Malaysia.

Jelas beliau, antara usaha terkini termasuklah mengadakan perbincangan dengan pemimpin ASEAN dan Presiden China, Xi Jinping serta beberapa lagi buah negara.

“Apakah kita harus mengeluh atau mengambil langkah-langkah sendiri? Kita bersepakat bahawa yang pertama, yang paling penting ialah membina keupayaan dalaman domestik kita.

“Membina keyakinan rakyat bahawa kita mampu berdikari, mampu membangun dengan kekuatan kita dan jaringan yang bertambah di ASEAN, di rantau Asia dengan China, dengan India, Australia, Jepun, Korea dan membuka pasaran-pasaran baru di Eropah, dan sekarang kita kian rapat dengan Brazil,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis perasmian penambahbaikan dan penaiktarafan Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah (LTSAS) Ipoh di sini hari ini.

Donald Trump yang dilantik sebagai Presiden AS pada awal tahun ini telah melancarkan kadar tarif baharu terhadap dunia dan Malaysia tidak terkecuali meskipun kemudiannya Trump menangguhkan tindakannya itu.

Anwar berkata, beliau juga ada bercakap dengan Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Antonio Guterres, Presiden Brazil dan Presiden Turki tentang bagaimana Malaysia boleh mengembangkan pasaran.

Perdana Menteri malah menekankan bagaimana pelancongan domestik boleh menjadi kekuatan ekonomi Malaysia serta rakan serantau.

“Antara hujah penting dalam ASEAN adalah bagaimana kita boleh tingkatkan pelancongan di kalangan intra-ASEAN. Sebab itu kita bersaing dengan kemudahan dan prasarana lebih baik, dan tahap kecekapan semua pegawai,” katanya.

Anwar menyambut baik usaha menaik taraf LTSAS Ipoh dalam meningkatkan jaringan hubungan domestik terutama dari segi perdagangan dan pelancongan.

Melalui peningkatan prasarana kapasiti penumpang tahunan daripada 500,000 kepada 700,000 itu, Perdana Menteri melihat potensi destinasi dari Ipoh boleh dikembangkan sehingga ke Kota Kinabalu dan Kuching. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya