KOTA BHARU: Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (Maik) menyalurkan peruntukan berjumlah RM29 juta kepada Yayasan Islam Kelantan (YIK) dalam menjayakan agenda pendidikan Islam di negeri ini.
Yang Dipertuanya, Tengku Tan Sri Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz berkata, agihan itu bermula 2014 sehingga tahun lepas sebagai tanda bekersamaan dalam melahirkan generasi rabbani.
Katanya, penggunaan dana tersebut bagi menampung emolumen guru-guru dan lain-lain aktiviti yang berkaitan.
“Sumbangan kewangan di bawah kategori asnaf fi sabilillah bagi tujuan pengurusan tahunan YIK diteruskan lagi pada tahun ini dengan peruntukan berjumlah RM2.5 juta.
“Maik turut bersetuju menambah peruntukan sebanyak RM2 juta kepada YIK menjadikan jumlah kumulatif bantuan kewangan pada tahun ini berjumlah RM4.5 juta. Jumlah itu bagi menampung kos perbelanjaan makan minum di sekolah-sekolah maahad tahfiz YIK dan Maahad Tahfiz Sains Tok Guru,” katanya selepas Majlis Ramah Mesra Yang Berhormat Mulia Tengku Temenggong Kelantan Bersama Pelajar-Pelajar Maahad Tahfiz YIK, di sini hari ini. – UTUSAN