Sebelum ini, Cik Bunga ada juga dengar-dengar gosip belakang tabir berkenaan seorang pelakon lelaki ini. Dia yang sudah berpisah dengan isterinya, kononnya dikhabarkan mahu kembali rujuk semula dengan wanita itu atas dasar cinta.
Itu katanyalah. Namun, untuk seketika, Cik Bunga tak ada dengar pun perihal mahu merujuk itu. Dalam erti kata lain, perkara itu seakan terkubur begitu sahajalah dalam penceritaan di angin lalu dan membuatkan Cik Bunga fikir, barangkali tidak jadilah usaha mahu berbaik itu berlaku.
Kemudian, setelah lama tidak ada isu mengenai pelakon itu dan bekas isteri, sampai pula ke telinga Cik Bunga bahawa kononnya si aktor kacak itu mahu kembali rujuk lagi dengan bekas isterinya.
Makna kata bukan sekali dualah hasrat itu diluahkan aktor itu. Namun, tetap jua hasrat itu dilihat seakan sekadar hangat-hangat tahi ayam oleh bekas isterinya.
Sebabnya, Cik Bunga difahamkan, bekas isteri pelakon itu ada memberikan beberapa syarat kepada dudanya.
Paling utama adalah dia perlu memberitahu hasrat hendak berkahwin semula itu kepada kedua orang tua mereka. Mahu kahwin buatlah cara yang betul. Hormat ibu bapa, dapatkan restu orang tua.
Tak akanlah mahu kahwin senyap-senyap. Sebab punca utama mereka berpisah dahulu pun sebab rumah tangga tidak dapat restu keluarga. Itu apa yang Cik Bunga difahamkanlah.
Tetapi, syarat yang dinyatakan oleh bekas isterinya itu tetap tidak dapat dilakukan oleh aktor itu. Tidak tahulah apa alasannya lagi sedangkan semua orang tahu, mana-mana hubungan atau rumah tangga itu lebih baik jika disertakan dengan restu orang tua.
Maka apabila tengok sikap acuh tidak acuh aktor itu, si bekas isterinya sudah dapat mengagak, hasrat mahu kahwin itu sekadar ucapan di mulut sahaja, tetapi tidak ikhlas dari hati.
Bagi Cik Bunga, kalau begitu, nampak sangat si lelaki itu tidak matang dan belum benar-benar bersedia mahu hidup berumah tangga. Mungkin juga belum benar-benar mampu menjadi seorang lelaki sejati. Memang selamat jalanlah ceritanya.