KUALA LUMPUR: Seorang wanita yang sebelum ini dipenjara dua bulan atas kesalahan mencuri barangan keperluan asas pada enam hari lalu dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini.
Perkara itu selepas Hakim Muniandy Kannyappan membuat semakan terhadap hukuman tertuduh, Lini Ahmat, 38, untuk mengurangkan hukuman yang diputuskan Mahkamah Majistret pada 21 April lalu.
Pendakwaan yang dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa raya, Izalina Abdullah berkata hukuman penjara yang diberikan adalah berat dan mohon pertimbangan mahkamah.
“Mengikut trend hukuman semasa, hukuman itu agak berlebihan. Oleh itu, mahkamah diminta untuk mempertimbangkan semula keputusan yang telah diberikan,” katanya.
Peguam bela dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Collin Andrew memohon agar mahkamah dapat memberikan peluang kedua kepada anak guamnya memandangkan itu kesalahan pertama.
“Tertuduh mempunyai dua orang anak, masing-masing enam tahun dan enam bulan yang masih lagi perlukan penjagaan daripada ibu mereka.
“Tertuduh juga telah berada di penjara selama enam hari dan saya yakin, tempoh itu sudah cukup untuk membuatkan tertuduh insaf dan tidak mengulangi lagi,” kata peguam itu.
Mendengar kedua-dua hujahan, mahkamah memutuskan bahawa hukuman enam hari penjara sudah memadai kerana tertuduh mencuri kerana terdesak dan tertuduh dibebaskan hari ini.
Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan seorang ibu kepada seorang anak dihukum penjara dua bulan oleh Mahkamah Majisret atas pertuduhan mencuri kerana tekanan kewangan untuk menanggung keluarga.
Ibu kepada dua anak itu didakwa mencuri 30 jenis barangan termasuk makanan ringan, produk penjagaan diri dan keperluan harian antaranya roti, telur, biskut, susu soya, tisu dan ubat gigi berjumlah RM374.69 di sebuah pasar raya di Brickfields di sini pada 19 April lalu.
Menurut peguam bela tertuduh, pihaknya memohon agar hukuman ringan dikenakan atas alasan anak guamnya terpaksa melakukan kesalahan itu akibat tekanan kewangan dan menanggung anak berusia enam bulan serta bapa uzur berumur 76 tahun.
Katanya, tertuduh berada dalam keadaan terdesak dan tidak mempunyai wang untuk membeli barangan keperluan asas
Pertuduhan itu dikemukakan mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah seksyen dan kanun sama, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan denda. – UTUSAN