JOHOR BAHRU: Polis Johor menumpaskan lima sindiket pembungkusan dan pengedaran dadah bernilai hampir RM9 juta, baru-baru ini.
Dalam dalam lima serbuan di empat daerah bermula 20 hingga 24 April lalu itu, polis turut menahan lima individu, termasuk lelaki warga Singapura yang merupakan dalang sindiket tersebut.
Ketua Polis Johor, Datuk M. Kumar berkata, dalam serbuan di Johor Bahru, Batu Pahat, Kluang dan Kota Tinggi itu, pihaknya merampas lebih 70 kilogram pelbagai jenis dadah termasuk syabu, ekstasi, ganja dan pil Eramin 5.
“Modus tiga daripada sindiket terbabit adalah menjadikan kenderaan sebagai tempat memproses, membungkus dan menyimpan dadah, manakala dua sindiket menjadikan pangsapuri sebagai pusat operasi.
“Kesemua suspek yang ditahan positif dadah, berusia antara 22 hingga 47 tahun dengan seorang daripadanya merupakan warga Singapura,” katanya pada sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Kontinjen Johor, di sini hari ini.
Pihaknya turut menyita barangan, termasuk kenderaan, barang kemas serta wang tunai dengan jumlah keseluruhan kira-kira RM400,000.
“Jumlah keseluruhan rampasan dadah beserta barangan sitaan melibatkan kelima-lima serbuan adalah RM9.32 juta. Kelima-lima suspek kini direman hingga esok bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.
Kumar memberitahu, pihaknya telah menahan seramai 8,214 suspek atas pelbagai kesalahan dadah sejak 1 Januari hingga 24 April lalu, melibatkan rampasan 873.78 kilogram dan 3.633.27 liter dadah dengan nilai RM82.98 juta. – UTUSAN