PETALING JAYA: Seorang lelaki kerugian RM1,150 selepas diperdaya dalam urusan menyewa rumah yang sebenarnya sebuah unit inap desa (homestay) di sebuah residensi di Jalan Razak Mansion, Sungai Besi dekat sini, Jumaat lalu.
Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Aidil Bolhassan berkata, mangsa berusia 25 tahun yang bekerja sebagai pegawai risiko mendakwa tertarik dengan iklan sewaan rumah yang diiklankan sebuah laman sesawang hartanah, pada 23 April lalu.
“Pengadu kemudian menghubungi seorang lelaki yang memperkenalkan dirinya sebagai Coco Chan bagi tujuan melihat dan menyewa unit kediaman terbabit.
“Pada Jumaat lalu, pengadu ke kediaman itu yang terlekat di tingkat 38 residensi terbabit dan bertemu seorang wanita yang memperkenalkan diri sebagai Natasha, kononnya ejen rumah terbabit, sebelum diminta membuat bayaran pendahuluan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Aidil berkata, mangsa kemudian membuat bayaran berjumlah RM1,150 ke dalam akaun bank pada malam hari yang sama.
Bagaimanapun, katanya, suspek memberikan pelbagai alasan selepas bayaran dibuat dan gagal menyediakan perjanjian sewa seperti dijanjikan.
“Pengadu mula mengesyaki dirinya ditipu selepas dimaklumkan unit terbabit sebenarnya adalah homestay dan bukannya rumah untuk disewa daripada pemilik rumah terbabit,” katanya.
Tambahnya, siasatan lanjut sedang dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.
Orang ramai diingatkan supaya lebih berhati-hati dalam urusan sewaan rumah secara dalam talian, termasuk memastikan latar belakang ejen yang sah bagi mengelak menjadi mangsa penipuan. – UTUSAN