BUTTERWORTH : Lebih lima juta penumpang direkod menggunakan perkhidmatan feri Pulau Pinang yang baharu sejak ia memulakan operasi pada 7 Ogos 2023 yang lalu.
Daripada jumlah itu, sebanyak 74 peratus atau 3.73 juta adalah pejalan kaki manakala selebihnya iaitu kira-kira 1.28 juta merupakan pengguna kenderaan dua roda khususnya basikal dan motosikal.
Ketua Pegawai Eksekutif Penang Port Sdn. Bhd. (PPSB), Datuk V. Sasedharan berkata, pertambahan jumlah penumpang hampir enam peratus untuk suku pertama tahun ini berbanding tempoh yang sama tahun lepas juga menunjukkan sambutan baik yang diterima terhadap perkhidmatan tersebut di Pulau Pinang ketika ini.
Bagaimanapun, beliau berkata, perkhidmatan tersebut mengalami kerugian kerana jumlah pendapatan yang diperoleh ketika ini masih kurang berbanding kos operasi feri yang begitu tinggi.
“Jadi, setiap kali berlakunya pertambahan jumlah penumpang ini, kita berharap ia akan dapat mengurangkan jumlah kerugian yang ditanggung walaupun jumlah itu mungkin masih jauh untuk kita mencatatkan sebarang keuntungan buat masa ini,” ujar beliau.
Beliau ditemui semasa Majlis Pencapaian 5 Juta Penumpang Feri Baharu Pulau Pinang yang turut dihadiri oleh Pengerusi PPSB, Datuk Seri Syed Mohamad Syed Murtaza di Anjung Tinjau, Pangkalan Sultan Abdul Halim di sini, hari ini.
Terdahulu, perkhidmatan feri di Pulau Pinang dianggarkan mengalami kerugian sehingga RM14 juta setahun kerana kos perkhidmatan feri baharu itu adalah melebihi daripada jumlah kutipan tiket feri ketika ini.
Perkara itu dimaklumkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Pengangkutan dan Digital Pulau Pinang, Zairil Khir Johari ketika sesi sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang, November lalu.
Zairil berkata, selain kos minyak diesel yang tinggi, kos pemeriksaan tahunan serta penyelenggaraan wajib yang juga tinggi untuk menjamin keselamatan feri yang beroperasi serta kos insuran perkhidmatan yang melebihi RM2 juta turut menyumbang ke arah kerugian berkenaan.
Dalam pada itu, Sasedharan berkata, PPSB akan terus mempromosikan perkhidmatan feri di Pulau Pinang dalam usaha meminimumkan jumlah kerugian yang ditanggung oleh syarikat itu sebelum ini.
Jelas beliau, antara langkah promosi yang dicadangkan termasuk bekerjasama dengan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) untuk mengiklankan perkhidmatan feri di dalam perkhidmatan tren elektrik (ETS).
“Selain itu, kita juga ada buat kerjasama dengan pihak Tourism Malaysia bagi menarik lebih ramai pengunjung terutamanya dari luar Pulau Pinang untuk menggunakan perkhidmatan feri ini,” katanya yang memberitahu, ketika ini, terdapat empat buah feri yang beroperasi secara bergilir dari pukul 6 pagi hingga 8.30 malam pada setiap hari.-UTUSAN