JOHOR BAHRU: Seramai lebih 100 ahli MCA daripada tiga cawangan di Kluang meninggalkan parti itu sekaligus mendaftar sebagai Ahli Bersekutu Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
Ketua Bersekutu Bersatu Johor, Tan Lek Khang berkata, kesemua individu tersebut membuat keputusan itu secara kolektif dan bukannya berasingan.
Menurut beliau, langkah tersebut membuktikan bahawa Bersatu adalah parti pilihan pelbagai kaum untuk menerajui negara pada masa depan.
“Perkembangan ini mencerminkan hilangnga keyakinan ahli akar umbi terhadap kepimpinan MCA dan Barisan Nasional (BN) secara keseluruhannya.
“Mereka memilih bersama Bersatu kerana yakin dengan perjuangan yang lebih inklusif, progresif dan berteraskan integriti. Bersatu beri pembelaan kepada semua lapisan rakyat, tanpa mengira kaum dan agama,” katanya dalam sidang akhbar di sini.
Tambah Lek Khang, pihaknya yakin akan ada lebih ramai masyarakat Tionghua yang akan menyertai Bersatu sebelum Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.
“Saya yakin dan percaya gelombang sokongan ini akan berterusan. Ahli Bersekutu juga akan memainkan peranan penting dalam memperkukuhkan Bersatu sebagai parti masa depan rakyat Malaysia.
“Kami mengalu-alukan penyertaan lebih ramai pihak dan akan memastikan suara mereka diberi perhatian dalam perjuangan politik negara,” ujarnya lanjut.