PUTRAJAYA: Laporan forensik melibatkan 10 rakaman video berkaitan dakwaan rasuah melibatkan beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di Sabah dijangka dikeluarkan dalam tempoh seminggu lagi.
Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki berkata, pihaknya tidak mahu melengahkan lagi siasatan kes berkenaan walaupun siasatan kesemua video itu perlu diteliti sebaiknya.
“Laporan forensik babitkan 10 rakaman ADUN Sabah itu sudah ada. Saya jangka dalam seminggu lagi lah akan keluar laporan.
“Saya ada bertanya (perkara ini kepada pegawai penyiasat). Saya pun tidak mahu lambat perkara ini. Semua pihak bertanya kenapa lambat, mereka (pegawai penyiasat) memerlukan masa sedikit lagi kerana 10 video bukan satu video.
“Kita kena tengok teliti. (Siasatan) kena adil nanti akan ada pihak-pihak mempertikaikan pula dan mempersoalkan adakah ini satu siasatan forensik yang adil dan sebagainya, jadi kita kena buat cara elok,” katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Persidangan Antirasuah Asia Tenggara 2025: Recalling Jakarta Statment di sini hari ini.
Sebelum ini, Azam memaklumkan 10 video yang dikemukakan kepada SPRM berhubung dakwaan rasuah melibatkan ADUN Sabah sedang dianalisis.
Katanya, siasatan terhadap lapan ADUN terbabit dan seorang individu tetap diteruskan walaupun kesahihan video tersebut masih belum disahkan.
Beberapa rakaman video memaparkan ADUN didakwa menerima ratusan ribu ringgit bagi menyokong permohonan syarikat untuk projek di sebuah negeri sebelum ini didedahkan sebuah portal berita.
Perbincangan dalam video itu melibatkan ahli perniagaan, namun wajahnya tidak kelihatan yang meminta ahli politik termasuk mereka yang memegang jawatan kanan, memulangkan wang itu kerana lesen untuk projek itu telah dibatalkan. – UTUSAN