KUALA LUMPUR: Beberapa kepemimpinan tertinggi Polis Diraja Malaysia (PDRM) hadir memberikan penghormatan kepada Perdana Menteri ke-5, Allahyarham Tun Abdullah Ahmad Badawi di Masjid Negara di sini.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain dilihat tiba di Masjid Negara di sini kira-kira pukul 12.20 tengah hari manakala Timbalannya, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay lima minit kemudian.
Turut dilihat Pengarah Pengurusan Bukit Aman, Datuk Seri Abdul Aziz Abdul Majid serta Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd. Shuhaily Mohd. Zain.
Selain itu, beberapa pegawai kanan PDRM dilihat hadir antaranya Timbalan Pengarah Risikan/ Operasi JSJ Bukit Aman iaitu Datuk Fadil Marsus serta Timbalan Pengarah Siasatan/ Perundangan JSJ Bukit Aman, Datuk Mohamad Zainal Abdullah.
Jenazah Allahyarham Abdullah dijangka dikebumikan di Makam Pahlawan di Masjid Negara di sini selepas Zuhur.
Terdahulu, jenazah Allahyarham Abdullah tiba kira-kira pukul 8.15 pagi di Masjid Negara di sini untuk istiadat pengebumian dengan dibawa menaiki van jenazah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).
Media semalam melaporkan Abdullah atau Pak Lah meninggal dunia di Institut Jantung Negara (IJN) di sini kira-kira 7.10 petang.-UTUSAN.