PUTRAJAYA: Kementerian Pendidikan (KPM) tidak akan berkompromi dalam sebarang isu buli dan gangguan seksual membabitkan atlet sukan sekolah.
Menterinya, Fadhlina Sidek berkata, pihaknya komited untuk menghentikan apa jua isu buli membabitkan pelajar sekolah dan akan segera tanganinya mengikut garis panduan sedia ada.
“Kita cukup tegas sekiranya kes-kes itu (buli dalam sukan) melibatkan sekolah dan institusi di bawah KPM.
“Isu buli bukan sahaja berlaku dalam sekolah biasa tetapi juga berlaku dalam sukan. Jadi ini yang kita kena sentiasa peringatkan di peringkat KPM.
“Kami mahu semua pihak peka dan cakna berkaitan dengan perlindungan yang mesti diberikan kepada anak-anak ini selagi
mereka di bawah payung KPM,” katanya dalam sidang akhbar selepas menyempurnakan Majlis Anugerah Sukan KPM-MSSM-MILO Ke-56 2024, di sini hari ini.
Ditanya sama ada KPM ada menerima aduan atau laporan berhubung isu buli membabitkan pelajar sekolah dalam bidang sukan, Fadhlina bagaimanapun tidak mendedahkan perkara itu.
“Semua aduan ataupun laporan itu akan melalui proses di peringkat Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA) dan peringkat sekolah yang mesti diselesaikan melalui proses-proses kerja kita.
“Jadi kalau ada aduan itu, mesti melalui semua proses-proses itu dan kita akan sentiasa ambil maklum dan tegas dengan siasatan.
“Kami juga akan memastikan bahawa anak-anak ini dan juga pengadu diberikan hak yang sewajarnya berdasarkan siasatan tersebut,” katanya.
Terdahulu, Fadhlina menyampaikan 13 anugerah kepada penerima yang menunjukkan prestasi cemerlang dalam pelbagai bidang sukan di Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM).
Anugerah Tunas Harapan Puteri disandang oleh Maisarah Mohd Khairul Nizam manakala, Anugerah Tunas Harapan Putera pula menjadi milik Sheamus Chew Heng Yi .
Sementara itu, Anugerah Khas Puteri pula menjadi milik Tan Pei Ler dan Anugerah Khas Putera disandang oleh Muhammad Raqib Darwisy Mohd Syahrizan serta Anugerah Puteri Para pula milik Aleeya Fariesya Faizul Rizal.
Dalam pada itu, Anugerah Putera Para pula menjadi milik Muhammad Imaan Aiman Muhammad Redzuan dan
Anugerah Puteri MSSM disandang oleh Dania Sofea Zaidi serta Anugerah Putera MSSM pula milik Muhammad Dhuha Zulfikry. – UTUSAN