KPKM laksana projek Kampung Angkat Madani bernilai RM2.5 juta

KPKM laksana projek Kampung Angkat Madani bernilai RM2.5 juta

ARTHUR JOSEPH KURUP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) melaksanakan Projek Kampung Angkat Madani di Kampung Salong, Mukim Pagalungan bagi membangunkan infrastruktur asas yang memberi impak besar kepada pembangunan holistik masyarakat setempat.

Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Arthur Joseph Kurup berkata, sebanyak tiga projek infrastruktur bernilai RM2.5 juta sedang dilaksanakan di kawasan itu.

Katanya, inisiatif berkenaan bukan sahaja dapat meningkatkan kualiti hidup dan memacu sosioekonomi penduduk setempat malah ia turut membantu merapatkan jurang pembangunan infrastruktur di kawasan berkenaan.

“Dengan adanya kemudahan asas dan peluang ekonomi yang lebih baik di kampung sendiri, penduduk, terutamanya golongan muda tidak lagi perlu berhijrah ke bandar untuk mencari pekerjaan atau kehidupan yang lebih baik.

“Ini juga membantu mengekalkan struktur sosial dan budaya masyarakat Kampung Salong,” katanya menerusi satu kenyataan.

Antara projek yang sedang dilaksanakan termasuk pembinaan pusat jualan dan jeti nelayan di bawah seliaan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), pembinaan Gerai Agrobazaar di bawah seliaan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dan pembinaan jambatan gantung konkrit baharu bagi menggantikan jambatan gantung sedia ada yang menjadi laluan
utama penduduk dan para pelajar Sekolah Kebangsaan Kuala Salong.

Mengulas lanjut, beliau yang juga Ahli Parlimen Pensiangan menegaskan komitmen kerajaan Madani untuk terus memperkasakan kawasan pedalaman melalui inisiatif seperti Projek Kampung Angkat Madani.

Katanya, kejayaan Projek Kampung Angkat Madani di Kampung Salong membuktikan keprihatinan kerajaan Madani terhadap keperluan rakyat di semua lapisan masyarakat termasuk mereka yang tinggal di kawasan pedalaman.

“Kampung Salong adalah contoh kejayaan bagaimana pendekatan holistik dan kerjasama erat antara kerajaan, masyarakat serta pihak berkepentingan lain dapat membawa perubahan signifikan kepada kehidupan masyarakat di kawasan pedalaman.

“Kami percaya bahawa dengan menyediakan infrastruktur asas yang berkualiti, kita dapat membuka potensi penuh masyarakat setempat dan memacu pembangunan negara secara inklusif,” katanya.

Dalam pada itu, Arthur berkata, pihaknya akan terus bekerjasama dengan pelbagai agensi kerajaan, pihak swasta dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bagi memastikan kesinambungan serta keberkesanan projek tersebut.

Menurutnya, pemantauan berkala dan penilaian impak juga akan dilakukan bagi memastikan objektif projek tercapai dan memberikan manfaat berpanjangan kepada masyarakat Kampung Salong.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya