TAPAH: Kementerian Kesihatan (KKM) akan menempatkan pakar perubatan kecemasan di 10 buah hospital tanpa pakar di seluruh negara secara berperingkat menjelang Ogos depan.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, antara hospital tersebut ialah Hospital Tapah, Hospital Batu Gajah, Hospital Seri Iskandar, Hospital Sabak Bernam, Hospital Sungai Siput, Hospital Tumpat, Hospital Alor Gajah, Hospital Jasin dan Hospital Pasir Mas.
Beliau berkata, penempatan pakar perubatan kecemasan bagi Hospital Tapah secara tetap akan bermula pada 1 Mei depan.
“Salah satu daripada usaha dan hasrat saya adalah untuk meletakkan paling tidak dua pakar iaitu pakar trauma dan pakar perubatan am di hospital tanpa pakar.
“Malah, KKM juga telah memulakan usaha menempatkan pakar-pakar perubatan kecemasan ini di semua hospital termasuk yang tidak berpakar dalam mencapai sasaran sekurang-kurangnya seorang pakar perubatan kecemasan ditempatkan dalam tempoh tiga tahun.
“Insya-Allah, kita akan menempatkan pakar perubatan kecemasan ini di 10 buah hospital tanpa pakar di seluruh negara secara berperingkat selewat-lewatnya pada Ogos 2025,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Majlis Penerapan Nilai-Nilai Murni dan Ramah Mesra Menteri Kesihatan bersama warga kerja kesihatan daerah Batang Padang di Hospital Tapah, di sini hari ini.
Menurut beliau, sehingga kini sebanyak 15 buah hospital tanpa pakar dan hospital daerah telah mempunyai pakar perubatan kecemasan dalam usaha memberi perkhidmatan secara langsung kepada pesakit.
Katanya, antara premis kesihatan itu ialah Hospital Jitra, Hospital Kuala Nerang, Hospital Sik, Hospital Yan, Hospital Balik Pulau, Hospital Sungai Bakap, Hospital Kuala Kubu Baharu dan Hospital Limbang.
“Keberadaan pakar perubatan kecemasan ini bukan sahaja menjadi tarikan kepada penduduk sekitar untuk mendapatkan rawatan di hospital tanpa pakar malah membantu meningkatkan penyampaian perkhidmatan kesihatan secara am,” katanya.
Sementara itu beliau berkata, memandangkan permintaan tinggi daripada penduduk sekitar, perkhidmatan kecemasan 24 jam di Kilinik Kesihatan Muallim akan dibuka semula.
Katanya, setakat ini, pelaksanaannya akan menggunakan kakitangan sedia ada melalui sistem tugasan panggilan luar waktu bekerja (Aktif).
“Sebagai langkah penambahbaikan, penambahan kakitangan akan dipertimbangkan bagi memastikan penyampaian perkhidmatan yang lebih cekap.
“Kelulusan juga telah diperoleh bagi pembayaran elaun tuntutan kepada Pembantu Pegawai Perubatan (PPP) yang melaksanakan tugasan panggilan,” katanya. – UTUSAN