KANGAR: Ketua jabatan dan penjawat awam perlu mempunyai pendirian selari dan menghormati keputusan dibuat kerajaan negeri di bawah Perikatan Nasional (PN) meskipun mempunyai fahaman politik berbeza.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Kebudayaan negeri, Abu Bakar Hamzah yang membuat teguran tersebut berkata, ungkapan parti menguasai kerajaan perlu diambil perhatian oleh penjawat awam di negeri ini dengan pentadbiran kerajaan kini adalah di bawah PN.
Katanya, 14 daripada 15 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di negeri ini adalah di bawah PN.
“Kita faham kebanyakkan anggota atau kakitangan kerajaan ada yang berlainan fahaman politik dan kita faham dan sekali tidak boleh paksa. Tapi dalam masa sama, kena hormati apa dasar yang kita buat meskipun kita pembangkang di peringkat pusat.
“Sebagai penjawat awam perlu mengikut apa perkara diputuskan, contohnya perkara yang kita putuskan dalam mesyuarat Exco, perlu diikuti tanpa berdolak dalih. Sebarang keputusan mesti berpaksi di situ.
“Kita faham, ketua-ketua jabatan meskipun apa sahaja fahaman politik, kita kena berpaksi kepada keputusan kerajaan. Apa nak buat, rujuk pada wakil rakyat, Exco kerajaan negeri.
“Hormati kemenangan PN dalam pilihan raya lalu dan saya harap kakitangan kerajaan hormati keputusan tersebut,” katanya dalam sesi penggulungan sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini hari ini.
Sementara itu, Abu Bakar berkata, kerajaan negeri bercadang memperkenalkan pelancongan baharu bagi merancakkan lagi sektor berkenaan yang semakin berkembang di Perlis.
Katanya, objektif pelaksanaan itu adalah bagi meneruskan kemeriahan dan kesinambungan pelancongan di Perlis sekali gus juga sebagai persediaan menuju Tahun Melawat Malaysia 2026.
Selain itu, katanya, kerajaan negeri juga bercadang melancarkan kalendar acara Tahun Melawat Malaysia 2026 yang mengfokuskan negeri ini seawal bulan Ogos agar lebih ke depan berbanding negeri-negeri lain.
“Kita juga sentiasa akan menjalinkan kerjasama dengan pusat dengan menawarkan lokasi-lokasi terbaik kita sempena Tahun Melawat Malaysia.
“Malah, kita juga buat julung kali akan mengadakan Malam Anugerah Pelancongan Perlis buat pada Disember bagi menghargai pemain-pemain pelancongan ini,” katanya. – UTUSAN