PETALING JAYA: Kerjasama antarabangsa dalam aspek pendidikan tinggi kini dilihat satu keperluan dalam memastikan sektor tersebut terus berkembang.
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Zambry Abd. Kadir berkata, jalinan kerjasama itu secara tidak langsung membolehkan penyelidikan bersama dilaksanakan terutama untuk menangani isu dan krisis besar selain memupuk mobiliti pelajar serta akademik.
“Kerjasama merentas sempadan membolehkan kita melaksanakan penyelidikan bersama, sekali gus mencari penyelesaian kepada pelbagai isu dan krisis global. Ia juga menjadi pemangkin kepada mobiliti pelajar serta pertukaran akademik yang lebih aktif,” katanya dalam satu kenyataan yang dimuat naik di laman Facebook rasmi beliau hari ini.
Ujarnya masa depan pendidikan tinggi terletak pada kerjasama, bukanlah persaingan dan usah membina tembok, sebaliknya binalah jambatan yang menjadi penghubung.
Zambry kini mengadakan lawatan kerjanya ke Turkiye dengan menghadiri dan menyampaikan ucaptama bertemakan Advancing Collaboration in a Changing Higher Education Landscape pada Sidang Kemuncak Pendidikan Tinggi Eurasia ke-10 (EURIE) 2025.
Dalam lawatan berkenaan, Zambry akan mengadakan kunjungan hormat terhadap Presiden Majlis Pendidikan Tinggi (YOK), Prof Dr Erol Ozvar dan mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Bersama Malaysia-Turkiye bagi merangka peluang kerjasama institusi pengajian tinggi.-UTUSAN