Kereta tersangkut pasir pantai, hampir ditenggelami air laut

Kereta tersangkut pasir pantai, hampir ditenggelami air laut

SEBUAH kereta SUV yang disewa tujuh pelajar warga Sudan tersangkut di pasir Pantai Cahaya Negeri, Port Dickson pagi tadi.-GAMBAR/IHSAN POLIS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PORT DICKSON: Hasrat tujuh orang pelajar warga Sudan untuk menikmati keindahan pagi di pantai peranginan daerah ini berakhir detik cemas apabila kenderaan utiliti sukan (SUV) jenis Proton X70 yang disewa mereka tersangkut pada pasir pantai dan hampir ditenggelami air laut di sini pagi tadi.

Pemangku Ketua Polis Daerah Port Dickson, Deputi Superintenden Ruslan Mat Kib berkata, kejadian berlaku di Pantai Cahaya Negeri di sini apabila sekumpulan pelajar tersebut tiba di kawasan pantai berkenaan kira-kira sekitar pukul 6 pagi hingga 7 pagi.

Menurutnya, kumpulan pelajar dari Universiti Tenaga Nasional (Uniten) telah pergi ke kawasan tepi pantai dan pemandu kenderaan itu secara tiba-tiba gagal keluar dari kawasan pasir pantai akibat tayar kenderaan tersangkut.

“Salah seorang daripada kumpulan pelajar berusia 20 hingga 35 tahun itu kemudiannya cuba mendapatkan bantuan khidmat tunda kenderaan namun sekitar pukul 9 pagi, air laut pasang hingga menyebabkan kenderaan disewa mereka masuk ke dalam laut.

“Disebabkan keadaan itu, kira-kira pukul 10.30 pagi, mereka terpaksa mendapatkan bantuan khidmat daripada jentolak besar untuk membawa naik SUV berkenaan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Terdahulu, Ruslan berkata, maklumat berkenaan kes tersebut yang tular di media sosial diterima sekitar pukul 10.30 pagi.

Menurut beliau, pemantauan anggota Tugas Khas dan polis Unit Kereta Peronda (MPV) mendapati kenderaan itu telah dibawa naik ke pesisir pantai serta kesemua pelajar terbabit dalam keadaan selamat. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN